7.3 peratus penduduk Malaysia lengkap suntikan vaksin

Dr Adham. - Foto Bernama
Dr Adham. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,393,882 orang atau 7.3 peratus daripada populasi telah menerima suntikan dos kedua vaksin sekali gus melengkapkan vaksinasi mereka setakat Khamis, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyasarkan 10 peratus daripada populasi negara akan memperoleh vaksinasi penuh menjelang pertengahan Julai ini.

Dr Adham berkata, jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin setakat semalam adalah sebanyak 8,346,697 dos merangkumi 5,952,815 pemberian dos pertama, manakala 2,393,882 lagi adalah dos kedua.

"Bagi vaksinasi harian, sebanyak 263,012 dos diberikan semalam melibatkan pemberian 178,148 dos pertama dan 84,864 dos kedua," katanya dalam hantaran di Twitter beliau pada Jumaat.

Beliau berkata, lima negeri yang mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 318,774 orang, diikuti Johor (256,096), Sarawak (252,496), Perak (214,267) dan Kuala Lumpur (209,165).

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam sidang media di Butterworth, Pulau Pinang berkata, sebanyak 16 juta rakyat sudah berdaftar untuk menerima vaksin dan 34 peratus daripadanya telah mendapat suntikan dos pertama.

Beliau berkata, Julai adalah bulan penting dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana selain mahu mencapai sasaran 10 peratus rakyat melengkapkan penerimaan suntikan vaksin, Malaysia juga dijangka menerima vaksin yang banyak pada bulan ini.

"Jangkaan vaksin yang akan diterima pada bulan ini adalah 12 hingga 14 juta vaksin...tiap minggu kita akan terima vaksin," katanya sambil menambah CITF akan membuat penilaian dan pengagihan vaksin mengikut kapasiti di setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Azmi meminta semua pegawai perubatan kerajaan lantikan kontrak supaya bersabar kerana isu perjawatan mereka akan dibawa ke mesyuarat kabinet minggu depan.

"Bukan kerajaan atau Kementerian Kesihatan (KKM) tidak ambil berat, kita telah lama bincang perkara ini dan kita memang ada hasrat untuk membantu anak muda ini supaya masa depan mereka lebih terjamin, bagi kami sedikit masa," katanya. - Bernama