Yayasan Kasih Tauhid, Mahsuri Food bantu golongan terkesan Covid-19

Fatini (kiri), Nabil dan Mohd Jazri (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada wakil keluarga.
Fatini (kiri), Nabil dan Mohd Jazri (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada wakil keluarga.
A
A
A

KLANG - Yayasan Kasih Tauhid dengan kerjasama syarikat pengeluar kicap dan sos masakan buatan Malaysia, Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri Food) dan pihak Surau Taman Menara Maju di sini mengagihkan bakul makanan kepada 100 keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 pada Rabu.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid, Puan Sri Fatini Yaacob berkata, program tersebut merupakan kerjasama kali ketiga dengan pihak surau dan kali kedua bersama pihak Mahsuri Food.

Beliau berkata, ahli jawatankuasa surau dan masjid perlu aktif sepanjang masa untuk membantu golongan yang memerlukan dan tidak tertumpu ketika pandemik Covid-19 sahaja.

Ahli jawatankuasa surau dan masjid perlu diaktifkan bukan hanya ketika waktu mencabar ini tetapi perlu bersedia untuk menjaga ahli kariah. Mereka lebih layak untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.

“Surau dan masjid bukan sekadar tempat ibadah, tapi juga berperanan sebagai institusi yang membantu dan mengambil berat keadaan ahli kariahnya kerana mungkin ada dalam kalangan mereka mempunyai tekanan emosi akibat hilang punca pendapatan atau hidup seorang diri,” katanya.

Fatini juga berharap dapat bekerjasama dengan banyak pihak khususnya syarikat dan artis yang mempunyai pengaruh besar serta pengikut yang ramai untuk menyebarkan kebaikan.

“Semua surau dan masjid di Malaysia disarankan membuat perkara sama untuk membantu golongan yang memerlukan terutama ketika musim pandemik Covid-19.

“Saya mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang tunai melalui akaun Maybank 5621 0665 0878 MAYBANK, PEMEGANG AMANAH YAYASAN KASIH TAUHID," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nabil (kiri) menyerahkan bakul makanan kepada penerima yang tinggal di kawasan tersebut.
Nabil (kiri) menyerahkan bakul makanan kepada penerima yang tinggal di kawasan tersebut.

Beliau berkata, untuk maklumat lanjut mengenai program kebajikan yang dianjurkan oleh Yayasan Kasih Tauhid, boleh hubungi Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Kasih Tauhid, Wan Normi Hassan di talian 019-2802080 atau e-mel kepada yayasankasihtauhid@gmail.com.

Dalam pada itu, Ketua Komersil Mahsuri Food Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, pihaknya melengkapkan sumbangan hasil inisiatif daripada Yayasan Kasih Tauhid dengan menyumbangkan produk terkenal mereka iaitu Sos Berperisa Tiram Mahsuri dan juga Kicap Lemak Manis Mahsuri.

Menurutnya, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah program kali kedua pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Kasih Tauhid.

“Sebanyak lapan program CSR dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak Jun tahun lalu bagi membantu golongan yang memerlukan dan terkesan akibat pandemik Covid-19 di seluruh Malaysia.

“Bakul makanan yang diagihkan kepada keluarga-keluarga di sini mengandungi bahan mentah seperti beras, mi kuning, sardin, ayam termasuklah produk kami iaitu sos berperisa tiram dan kicap lemak manis. Kami akan terus bekerjasama dengan NGO yang lain dan insya-ALLAH pada bulan hadapan, kami akan ke Terengganu bagi membantu masyarakat di sana untuk agihan daging korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Julai nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, agihan bakul makanan di sini dilaksanakan secara pandu lalu atau drive thru dan walk-in berdasarkan senarai penerima yang disediakan oleh pihak surau mengikut kelayakan mereka.

Mohd Jazri (kanan) bersama Nabil menyerahkan bakul makanan kepada penerima secara pandu lalu di hadapan Surau Taman Menara Maju.
Mohd Jazri (kanan) bersama Nabil menyerahkan bakul makanan kepada penerima secara pandu lalu di hadapan Surau Taman Menara Maju.

“Selain penduduk sekitar sini, bakul makanan tersebut turut diagihkan kepada 200 keluarga lain yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di sekitar Klang dan Shah Alam,” katanya.

Hadir sama ketika pengagihan bakul makanan tersebut ialah pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad yang juga duta bagi produk Mahsuri.

Nabil berkata, inisiatif tersebut perlu diteruskan sepanjang musim pandemik Covid-19 masih melanda negara memandangkan ramai yang terkesan akibat wabak tersebut.

Beliau gembira dapat berjumpa dengan masyarakat dan membantu mereka, namun keadaan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sangat membimbangkan.

“Walaupun masjid dan surau ditutup, kita perlu usahakan cara untuk membantu golongan yang memerlukan, dalam masa sama mengingatkan mereka untuk terus beribadah serta melakukan amal kebaikan.

“Kalau kita tak boleh bantu dari segi kewangan, kita berusaha menyebarkan berita mengenai kesusahan yang dihadapi oleh individu atau keluarga itu kepada pihak yang boleh membantu mereka,” katanya.