Jangan abaikan pemberian vaksin kepada warga asing di kawasan PKPD

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa agar tidak mengabaikan pemberian vaksin Covid-19 kepada warga asing khususnya di kawasan yang dikenakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, rakyat terpaksa menanggung bebanan apabila kerajaan mengabaikan pemberian vaksin kepada warga asing yang tidak mempunyai pasport atau Mykad.

Hannah berkata, negara tidak lagi mampu bertahan sekiranya sebahagian kelompok masyarakat tidak menerima vaksin dan mungkin mengakibatkan gelombang jangkitan lebih besar selepas ini.

"Saya menggesa supaya vaksinasi segera diberikan kepada semua orang yang tinggal di kawasan PKPD tanpa mengira kewarganegaraan mereka setelah ujian saringan mereka didapati negatif.

"Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah ditempatkan di kawasan PKPD dan dengan kaedah ini, sumber yang ada dapat digunakan dengan berkesan," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Kerajaan pada Khamis mengumumkan pelaksanaan PKPD melibatkan mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, penguatkuasaan itu diputuskan setelah KKM membuat pembentangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi Covid-19 di dua negeri tersebut.

Dalam pada itu, Hannah berkata, keutamaan yang perlu diberi perhatian pada masa kini adalah melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan setiap individu dalam negara ini termasuk warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Virus ini tidak membezakan antara warga tempatan mahu pun warga asing dan oleh sebab itu, saya turut menggesa kerajaan agar menghantar segera trak vaksin bergerak ke kawasan PKPD hari ini bermula di Kampung Segambut Dalam," katanya.