Menteri PN gesa kerajaan kaji semula dasar tangani Covid-19

Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dasar memerangi Covid-19 yang dipraktikkan ketika ini agar usaha itu lebih berkesan dan memberi impak kepada penurunan kadar kematian pesakit Covid-19. Gambar kecil: Mohd Redzuan
Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dasar memerangi Covid-19 yang dipraktikkan ketika ini agar usaha itu lebih berkesan dan memberi impak kepada penurunan kadar kematian pesakit Covid-19. Gambar kecil: Mohd Redzuan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seorang menteri Perikatan Nasional (PN) membuat gesaan terbuka kepada kerajaan untuk mengkaji semula dasar memerangi Covid-19 yang dipraktikkan ketika ini, termasuk pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, gesaan itu dikemukakan susulan kes jangkitan Covid-19 harian masih menunjukkan angka tinggi meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai bentuk pendekatan, termasuk usaha mengekang pergerakan rakyat berasaskan hukuman punitif.

Jelas beliau, Malaysia juga harus mencontohi pendekatan negara lain yang menerima hakikat virus Covid-19 sudah menjadi sebahagian dalam kehidupan mereka.

"Secara peribadi, saya mencadangkan kerajaan semak semula dasar negara dalam menangani Covid-19 termasuk apa jua bentuk pendekatan berasaskan hukuman punitif.

"Hari ini kita lihat data yang jelas apabila jumlah kesemua pesakit yang positif Covid-19, 92 peratus daripadanya berjaya pulih, manakala lebih 0.6 peratus meninggal dunia. Sudah tentu angka 92 peratus itu akan berganjak dari masa ke masa.

"Namun paling penting, data itu menunjukkan kadar penyembuhan 92 peratus pada saat kita belum ada ubat penawar, sekali gus memberi petanda kita boleh menanganinya melalui imuniti semula jadi.

"Justeru, adakah dasar memerangi Covid-19 masih perlu diukur dari sudut angka penularan? Mungkin kena lihat dasar itu semula kerana negara lain sudah menerima hakikat Covid-19 adalah sebahagian hidup mereka," katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, di sini pada Khamis.

Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Pak Wan menjelaskan, sekiranya data lebih 0.6 peratus pesakit Covid-19 di Malaysia yang mati akibat pandemik itu dikaji lebih mendalam, kerajaan akan mendapati perkara itu berpunca daripada masalah sistem kesihatan awam yang tidak dinaik taraf.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sekiranya kerajaan memfokuskan usaha memperkasakan sistem kesihatan awam dengan segera, mungkin usaha menurunkan jumlah kematian akibat Covid-19 kepada angka lebih rendah akan tercapai.

"Kalau kita hendak menerima hakikat Covid-19 akan terus berada dalam komuniti untuk tempoh masa lama, maka kita kena lihat dari sudut membelanjakan wang ringgit bagi menaik taraf sistem kesihatan awam.

"Kalau hospital tidak cukup katil pesakit, kita tambah katil. Alat ventilator tidak cukup, kita tambah, doktor dan kepakaran perubatan tidak cukup...kita kena tambah," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan menggantikan kaedah mengekang pergerakan rakyat berasaskan hukuman punitif kepada kaedah pengawasan kawalan pergerakan berasaskan usaha mendidik.

"Rakyat pun marah sekiranya mereka dikompaun serta-merta akibat langgar SOP Covid-19. Sepatutnya langkah mengawasi dan mendidik rakyat di setiap kawasan komuniti perlu dititikberatkan agar ia menjadi tabiat semula jadi mereka.

"Kita pun ada ramai ahli Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang bersedia menjadi 'pengawas' kepada rakyat di setiap kawasan komuniti yang sibuk," katanya.