Import baharu tambah biso Jang

K Devan
K Devan
A
A
A

KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan mempunyai asas tersendiri mendapatkan dua pemain import terbaharu iaitu Arthur Cunha dan Francis Kone yang dijangka bakal menyuntik kekuatan tambahan buat skuad Hoben Jang Hoben bagi mencabar kejuaraan Liga Premier.

Menurut Devan, Cunha yang merupakan pemain pertahanan mempunyai kelebihan daripada segi komunikasi kerana mampu berbahasa Indonesia selepas lima tahun beraksi di sana sementara Kone, mempunyai pengalaman bermain di Liga Malaysia apabila membantu Kuala Lumpur, musim lalu.

“Kita buat pertukaran di pertahanan tengah kerana nampak di pusingan awal, Fernando Barbosa ini kurang berkomunikasi dengan pemain yang lain serta persefahaman tidak mencapai seperti mana yang kita harapkan.

“Tujuan kita mahu mendapatkan pemain import di pertahanan adalah untuk mengawal bahagian bawah serta menjadi ketua kepada semua pemain di benteng, kedua-dua fungsi ini tidak dapat dijalankan oleh Fernando.

“Jadi, kami mengambil Artur Cunha yang telah lama berada di Indonesia dan mampu memahami bahasa Melayu kerana boleh bertutur bahasa Indonesia malah dia seorang yang mampu bergaul dengan baik dengan pemain tempatan.

“Manakala Kone seperti kita tahu pernah bermain di sini dan saya rasa dia akan pantas menyesuaikan diri bagi menggantikan Rafael Gomes yang tidak begitu efektif apabila sekadar menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan selepas 11 perlawanan.

“Kone mempunyai kualiti yang baik dalam aspek perebutan bola di udara, satu situasi yang akan berikan kita pilihan dalam cuba menjaringkan gol semasa situasi set piece selain dia mampu menjadi pengumpan yang baik,” katanya yang dipetik dari laman Facebook Liga Bola Sepak Malaysia

Selain itu, Devan menyatakan kehadiran bekas pemain, Abdul Halim Zainal, adalah untuk menambahkan lagi pilihan di barisan tengah selepas mereka hanya mempunyai empat sahaja pemain di posisi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Biarpun sudah menjangkau usia 33 tahun, pengalaman Halim yang juga merupakan anak jati Negeri Sembilan dijangka mampu membantu Devan jika pasukan jika berdepan masalah kecederaan atau penggantungan pemain.

“Negeri Sembilan musim ini memiliki skuad yang kecil sahaja iaitu 22 pemain termasuk 3 penjaga gol dan kami memasukkan dua pemain Piala Presiden, yang menjadikan 24 secara keseluruhan.

“Daripada senarai itu, kami hanya ada Barathkumar, Saiful Ridzuwan, Bae Beom-geun dan Fahmi Faizal boleh bermain di bahagian tengah dan berdasarkan pengalaman selepas lalui 11 perlawanan, kami memerlukan seorang lagi pemain di posisi ini.

“Jadi, Halim Zainal menjadi pemain paling sesuai berdasarkan pengalamannya serta dia mampu cepat menyesuaikan diri dan saya rasa kami tidak boleh mendapat pemain sekualitinya pada pintu perpindahan kedua ini,” katanya.

Seorang lagi pemain tempatan yang disambar Negeri Sembilan adalah bekas pemain Kedah Darul Aman, Penang dan UiTM, Zulkhairi Zulkeply yang merupakan seorang pertahanan.

Mengenai persaingan Liga Premier bersama Sarawak United FC, Devan menyatakan sasaran utama adalah untuk memburu slot ke Liga Super sebelum memikirkan kejuaraan.

“Liga Super adalah sasaran kami dan harap pada baki saingan kali ini, kami akan terus dapat bermain dengan baik namun dalam masa sama, jika ada peluang meraih tempat pertama, kami akan cuba.

“Saya optimis Negeri Sembilan ada kualiti bersaing dengan Sarawak dan harap pemain mampu sentiasa fokus dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan,” katanya.