Nabil mahu bantu Cops raih slot Piala Malaysia

Nabil setakat ini menjaringkan satu gol ketika menentang Sarawak United pada aksi Liga Premier, April lalu.
Nabil setakat ini menjaringkan satu gol ketika menentang Sarawak United pada aksi Liga Premier, April lalu.
A
A
A

PEMAIN sayap PDRM FC, Nabil Ahmad Latpi mengakui semakin berpuas hati dengan minit permainan yang diperoleh selain percaya mampu dapat membantu The Cops untuk layak ke pentas Piala Malaysia musim ini.

Pemain berusia 29 tahun ini bekerja keras untuk terus mendapat tempat dalam pasukan apabila kurang menyerlah ketika bersama Kuala Lumpur pada musim lalu apabila hanya sempat beraksi untuk 23 minit sahaja dalam satu perlawanan.

Justeru, Nabil merasakan sudah tiba masa untuknya tidak lagi mensia-siakan peluang bagi mencapai prestasi di tahap terbaik bersama PDRM FC sambil meletakkan sasaran utama membawa pasukan ini layak bersaing di Piala Malaysia.

Kelibat pemain kelahiran Kedah ini semakin mendapat perhatian ketika dia berentap di saingan Liga Sosial bersama Ultimate FC pada tahun 2019 sebelum mendapat tawaran beraksi dengan Terengganu FC pada pertengahan musim yang sama.

“Saya sendiri tidak boleh nak menilai sejauh mana tahap perkembangan permainan saya tetapi, saya percaya saya mampu berusaha meningkatkan lagi kualiti permainan di padang.

“Sasaran utama saya adalah untuk bawa pasukan ini ke Piala Malaysia terlebih dahulu dan setakat ini, secara keseluruhan saya mengakui berpuas hati dengan minit permainan yang saya dapat bersama PDRM.

“Memang la agak bergelut juga untuk bersaing merebut kesebelasan utama, tetapi kami di sini semuanya bersaing secara sihat dan doa saya adalah agar kita semua mampu mengharungi pandemik ini agar Liga Malaysia berterusan dengan lancar,” jelasnya dipetik dari laman Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)

Dalam pada itu, skuad PDRM telah pun selesai mengambil dos kedua vaksin pada 28 Jun (Isnin) lalu dan kini masih dalam tempoh rehat.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi keadaannya ketika ini, Nabil masih lagi dalam fasa untuk sihat sepenuhnya selepas mengalami demam yang agak teruk.

“Hari pertama saya vaksin, semuanya dalam keadaan baik dan tidak ada tanda-tanda yang menyakitkan.

“Tetapi, memasuki hari kedua, saya mengalami demam yang sangat teruk dan sekarang hanya perlukan rehat yang cukup sahaja, tetapi saya bersyukur kami semua sudah divaksin selain berharap PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kali ini, kita semua tetap akan menjaga kesihatan diri”, tambahnya.