Pengalaman luas Gobiraj taruhan Penang FC

Gobiraj
Gobiraj
A
A
A

BEKAS pemain Pulau Pinang era 90-an, S Gobiraj dilantik sebagai Pengarah Teknikal Penang FC berkuat kuasa pada Khamis.

Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew berkata, pelantikan Gobiraj itu diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah Penang FC dengan mengambil kira pengalaman luas dalam bidang teknikal yang dimiliki bekas pemain itu.

“Beliau akan bertanggungjawab terhadap arah strategik untuk penyelarasan di peringkat akar umbi iaitu pasukan Piala Presiden dan Piala Belia Penang FC selain bekerjasama dengan barisan kejurulatihan pasukan Liga Super bagi membentuk falsafah bola sepak dan hala tuju skuad Harimau Kumbang,” katanya pada Khamis.

Jeffrey berkata, pengalaman, pengetahuan serta sikap Gobiraj yang sentiasa cenderung kepada pembangunan bola sepak tanah air adalah antara kriteria pemilihan beliau sebagai Pengarah Teknikal Penang FC.

“Sebelum ini, Penang FC tidak ada Pengarah Teknikal tetapi saya yakin Gobiraj mempunyai hala tuju yang jelas untuk memantapkan pasukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekas pemain USM FC, K Kanan dilantik sebagai Pegawai Pemasaran Penang FC.

Katanya, lantikan kedua-dua individu berkenaan adalah perancangan jangka masa panjang buat pasukan ke arah lebih profesional selain memenuhi struktur keperluan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Artikel Berkaitan: