X

Kindly register in order to view this article
!

Usahawan perlu adaptasi teknologi, pendigitalan mendepani Covid-19

Rizal pada program Sinar Live bertajuk ‘Cabaran PKS di kala pandemik’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Rabu.
A
A

SHAH ALAM - SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia) menyarankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro untuk adaptasi teknologi dan pendigitalan dalam mengemudi perniagaan terutama semasa pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, mengadaptasi teknologi dan pendigitalan perlu dilakukan untuk mengukuhkan kedudukan aliran tunai yang menjadi masalah peniaga kini.

Menurutnya, PKS juga perlu mempunyai pelan luar jangka yang efektif bagi memastikan kelangsungan perniagaan sekiranya berlaku krisis bencana seperti Covid-19 pada masa akan datang.

“PKS perlu berhati-hati dan siap siaga. Mereka perlu ada rancangan lain sekiranya bencana berlaku sebab kita tidak boleh membiarkan sahaja perniagaan bermasalah. PKS perlu ada pelan efektif untuk memastikan perniagaan berjalan lancar.

“Kerajaan menawarkan banyak inisiatif dan program untuk membantu PKS. Banyak agensi lain juga menawarkan inisiatif untuk membantu PKS yang perlu dimanfaatkan oleh mereka.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Portal MyAssist MSME pada 30 Jun 2021. Portal MyAssist MSME ini dilihat dapat membantu PKS menangani permasalahan dan isu berkaitan perniagaan ketika negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19 ini. Ia juga dibuka kepada semua sektor termasuk pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Sinar Live bertajuk 'Cabaran PKS di kala pandemik' dikendalikan oleh Dinnie Asyraf Salim yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Rabu.

Portal MyAssist MSME merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang merupakan pusat rujukan setempat secara dalam talian untuk memudahkan PKS atau bakal PKS mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan sokongan perniagaan secara berinteraksi dalam norma baharu secara lebih mudah.

Mengulas lanjut Rizal berkata, berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga 31 Oktober 2020, jumlah entiti baharu yang mendaftarkan perniagaan di bawah kategori/kod bagi perniagaan dalam talian telah meningkat.

“Walaupun ada yang gulung tikar tetapi ada yang mengambil inisiatif menukar kepada model perniagaan baharu kepada perniagaan dalam talian (online). Mereka mempelbagaikan perniagaan mereka akibat Covid-19. Sebanyak 373,213 entiti perniagaan telah mendaftar perniagaan online,” ujarnya.

Selain itu, Rizal berkata, SME Corp juga menyediakan platform bagi membantu perusahaan mikro dan komuniti B40 di bawah program ‘micro connector’.

Jelasnya, ia bagi menerapkan penggunaan teknologi melalui latihan dan bantuan geran untuk memudahkan golongan itu meneruskan perniagaan.

“Di bawah program ini, kita telah melatih lebih daripada 15,000 peserta yang telah mendaftar untuk memulakan perniagaan menerusi platform digital ini.

“Kita sediakan latihan, geran padanan atau bantuan untuk peserta. Kita akan memantau peserta selepas mereka mendapat latihan dan memulakan perniagaan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari myassist-msme.gov.my.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!