Raja pemerintah tonggak keadilan

Raja pemerintah berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan.
Raja pemerintah berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan.
A
A
A

MALAYSIA terdiri daripada 13 buah negeri – sembilan daripadanya mempunyai raja berdaulat. Sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan raja telah berakar umbi lebih enam abad lalu dan memberikan wajah serta identiti kepada Malaysia.

Kesultanan Melayu adalah lambang keagungan tamadun bangsa. Ketika orang Melayu masih belum memiliki institusi politik yang tersusun, Raja-raja Melayu berperanan sebagai jurubicara, menzahirkan suara membela nasib dan kepentingan bangsa.

Penubuhan dan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dicapai melalui perundingan dan persetujuan tiga pihak – institusi raja, rakyat dan kerajaan Inggeris.

Ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, rakyat menerima hakikat bahawa sistem beraja adalah sebahagian sistem berkerajaan dan bernegara di bumi ini yang wajar diteruskan.

Lantas, tradisi beraja di peringkat negeri turut diperkenalkan di peringkat Persekutuan dengan mewujudkan seorang Ketua Utama Negara bergelar Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan penerimaan sistem berkerajaan dan bernegara yang menggabungkan institusi raja dengan institusi rakyat berasaskan konsep raja berperlembagaan- demokrasi berparlimen.

Peranan raja berperlembagaan dimaktubkan secara perundangan – 10 peratus atau 19 daripada 183 perkara dalam Perlembagaan Persekutuan ialah perkara-perkara berkaitan raja, mengabsahkan bahawa raja berperlembagaan di Malaysia bukan sekadar satu simbol tetapi mempunyai peranan bermakna dalam urus tadbir negara.

Islam telah menyuntik dimensi baharu kepada tatacara pemerintahan raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan syariah, menegaskan dua konsep utama iaitu adil dan muafakat.

Hubungan batiniah raja dirangkaikan dengan ALLAH dan Rasul serta kedudukan para aulia dan anbia. Islam menegaskan fungsi utama raja adalah untuk menjunjung hukum ALLAH bahawa krisis akan terjadi jika perintah ALLAH diingkari dan apabila raja memerintah dengan nafsu.

Pada era Kesultanan Melayu Melaka, daulat dikaitkan dengan tuah raja, diperlihatkan dengan negeri aman, makmur dan kaya-raya, tanaman dan tumbuhan subur, ternakan membiak serta rakyat bertambah.

Artikel Berkaitan:

Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali menegaskan agar pemerintah menyayangi rakyat dan tentunya rakyat akan membalas kasih sayang tersebut.

Terkandung dalam kitab al-Fawaid al-Bahiyah, tulisan Nuruddin al-Raniri tentang peranan dan tanggungjawab seorang raja bahawa sehari amalan seorang raja yang adil, lebih afdal daripada amalan seorang yang beribadat selama 60 tahun.

Peranan

Raja pemerintah mendokong amanah berat dan tanggungjawab besar, peranan baginda bukan sahaja dinilai rakyat ketika berada di dunia tetapi turut diadili ketika di Padang Mahsyar.

Raja pemerintah tidak mengurus tadbir negara secara langsung tetapi berperanan mengawasi berlangsungnya urus tadbir yang teratur, amanah, telus dan berintegriti.

Raja pemerintah bukan monumen hiasan yang kaku tanpa nyawa-tanpa jiwa dan bukan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan.

Raja pemerintah dikurniakan Ilahi dengan akal dan fikiran serta dilengkapkan dengan deria dan disempurnakan dengan hati.

Segala apa yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran raja pemerintah.

Amatlah tidak munasabah jika institusi Ketua Utama Negara dan raja pemerintah di negeri-negeri diwujudkan untuk menyempurnakan tugas-tugas istiadat keraian semata-mata atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa pilihan memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga perkara yang diangkat sembah kepada baginda, apatah lagi jika nasihat tersebut tergelincir daripada landasan keadilan atau berunsur penindasan yang boleh memudaratkan rakyat dan negara.

Keputusan

Bagi membolehkan raja pemerintah merumus keputusan yang bijak dan betul, amat perlu untuk baginda mengamalkan budaya syura dan musyawarah, mendapat fakta benar lagi tepat, bertemu serta mendapatkan pandangan seluas dan sedalam mungkin daripada seramai pihak, menimbangkan pendapat ulama serta umara, intelek, ilmuwan, warga tua dan muda serta warga desa dan kota.

Pada masa yang sama, amatlah penting untuk barisan yang bertanggungjawab menasihati raja pemerintah bersifat arif lagi berilmu, telus dan ikhlas, jujur dan benar, dan menyembahkan nasihat yang mengutamakan kepentingan rakyat serta kepentingan negara mengatasi kepentingan mana-mana individu atau kumpulan.

Setelah hampir 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, institusi raja semakin dipohon melandaskan paksi baharu dan melakarkan ruang peranan lebih relevan dalam era yang menghamparkan cabaran yang semakin berubah.

Takhta jatuh kerana jatuhnya negara, negara jatuh kerana resahnya rakyat. Urus tadbir lemah menjadi punca keresahan rakyat, urus tadbir pincang merosakkan negara dan akhirnya melemahkan takhta.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab raja pemerintah memerhati, mengawasi dan memiliki kekuatan untuk menegur pentadbir agar mengurus tadbir negara, melaksanakan tanggungjawab secara amanah, telus, ikhlas dan jujur, memastikan kestabilan kerajaan, memajukan kemakmuran negara dan menjamin kesejahteraan warga.

Tanpa warga, tidak akan terbina sebuah negara, tanpa negara tidak akan ada kedaulatan takhta.

Raja pemerintah berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan, juga berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, perundangan serta kehakiman demi menjamin berlakunya tadbir urus telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

Terkandung dalam kanun bahawa seseorang raja pemerintah wajib mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun lagi belas kasihan.

Baginda wajib berada atas politik kepartian yang tidak memihak mana-mana orang perseorangan atau kumpulan demi membantu meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, berakarkan doktrin pengasingan kuasa.

Semoga raja-raja yang menjunjung amanah berat dan memenuhi tanggungjawab besar dilimpahi cahaya petunjuk Ilahi, dikurniakan kekuatan untuk menzahirkan titah nasihat berteraskan kebenaran dan keadilan.

Pada setiap ketika menegakkan yang makruf untuk memastikan tataurusan negara dilaksanakan dengan amanah, telus, ikhlas dan jujur agar negara kekal aman serta rakyat hidup makmur sejahtera.

Kepada ALLAH kita pohonkan doa agar raja kita selamat bertakhta.

Takhta jatuh kerana jatuhnya negara, negara jatuh kerana resahnya rakyat.

* Datuk Seri Mohd Annuar Zaini ialah Ahli Dewan Negara Perak