Biden 'panaskan' konfrontasi Amerika-Iran

Jenazah seorang anggota kumpulan Hashed al-Shaabi yang terbunuh dalam serangan udara tentera AS disolatkan oleh orang ramai di wilayah Nineveh sempadan Iraq pada 28 Jun lalu. - Foto AFP
Jenazah seorang anggota kumpulan Hashed al-Shaabi yang terbunuh dalam serangan udara tentera AS disolatkan oleh orang ramai di wilayah Nineveh sempadan Iraq pada 28 Jun lalu. - Foto AFP
A
A
A

TENTERA Amerika Syarikat (AS) yang melakukan serangan udara ke atas kumpulan-kumpulan bersenjata pro-Iran di Iraq dan Syria baru-baru ini sehingga mengakibatkan kematian telah mencetuskan kebimbangan bahawa satu ketegangan baharu akan muncul.

Ketegangan baharu itu menyebabkan konfrontasi terbaharu berlaku antara AS dengan Iran selepas jet-jet tentera Amerika melancarkan serangan udara ke atas tiga kemudahan yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata pro-Iran pada malam Ahad lalu dan Isnin lepas.

Pihak Pentagon AS dilaporkan berkata, serangan itu menyasarkan kemudahan tempat menyimpan senjata dan operasi kumpulan-kumpulan tersebut di dua buah lokasi di Syria dan sebuah lagi di Iraq.

Kesemua kemudahan itu terletak di sempadan Iraq dengan Syria dan ia digunakan oleh kumpulan-kumpulan militia tersebut yang terlibat dalam serangan dron ke atas kepentingan AS di Iraq.

Menurut kumpulan Pemantau Hak-Hak Asasi Untuk Syria yang beribu pejabat di Britain, seramai tujuh anggota daripada kumpulan pro-Iran itu terbunuh dalam serangan berkenaan.

Dalam pada itu, sumber AFP pula mendedahkan seramai empat anggota kumpulan Hashed al-Shaabi terbunuh dalam satu serangan di Al-Anbar iaitu wilayah di barat Iraq.

Kumpulan bersenjata Hashed al-Saabi itu pernah menuntut supaya tentera AS berundur dari Iraq.

Serangan ke atas kemudahan-kemudahan yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan pro-Iran itu diarahkan oleh Presiden AS, Joe Biden.

Artikel Berkaitan:

Joe Biden - Foto AFP
Joe Biden - Foto AFP

Dalam pada itu, selain mempertahankan serangan udara AS, Biden juga meyakinkan beberapa sekutunya termasuk Israel bahawa AS tidak akan bertolak ansur dengan Iran berkaitan senjata nuklear.

"Apa yang boleh saya katakan Iran tidak akan boleh menggunakan senjata nuklear selagi saya ialah Presiden AS," kata Biden.

Serangan terbaru AS merupakan serangan kedua selepas tentera negara itu menyerang buat pertama kali kemudahan kumpulan-kumpulan pro-Iran di timur Syria pada Februari lalu.

Serangan udara itu adalah sebagai satu tindakan balas setelah kumpulan berkenaan melancarkan serangan roket dan dron ke atas pangkalan tentera AS dan sekutu-sekutunya di Iraq.

Pada Februari lalu, seorang kontraktor AS terbunuh dan lapan lagi cedera selepas satu serangan roket dilancarkan ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika di wilayah Kurdis, utara Iraq.

Justeru, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken Isnin lalu mengeluarkan kenyataan bahawa serangan udara AS itu dilakukan bagi membawa mesej kepada kumpulan-kumpulan tersebut supaya tidak melakukan serangan lagi ke atas tentera AS.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi mengutuk serangan tersebut dalam satu kenyataan pada Isnin lalu dengan menganggapnya sebagai pencabulan terhadap kedaulatan dan keselamatan negaranya.

Berikutan serangan AS itu, kumpulan-kumpulan pro-Iran itu melakukan serangan balas apabila melepaskan bedilan-bedilan artileri dan melancarkan serangan roket ketika ke atas tentera perikatan diketuai AS di timur Syria pada Isnin lalu.

Ketika itu, tentera AS berpangkalan di kawasan cari gali minyak Al-Omar di timur Syria menyebabkan beberapa kerosakan dilaporkan berlaku tetapi tidak menyebabkan sebarang kematian atau kecederaan dalam kalangan askar-askarnya.

Gambar fail menunjukkan beberapa anggota keselamatan berkumpul selepas satu serangan roket berlaku di Arbil, utara Iraq pada Februari lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa anggota keselamatan berkumpul selepas satu serangan roket berlaku di Arbil, utara Iraq pada Februari lalu. - Foto AFP

Adakah kumpulan-kumpulan tersebut tidak akan menyerang lagi kemudahan-kemudaran tentera AS dan sekutunya di Iraq ekoran serangan udara tentera Amerika itu?

Bagi memberikan jawatan terhadap persolalan itu, seorang felo kanan di Institut Asia Barat (MEI), Washington, Dr. Randa Slim berkata, serangan yang dilakukan oleh tentera AS ke atas kemudahan-kemudahan itu tidak akan menghalang kumpulan-kumpulan pro-Iran tersebut daripada berhenti menyerang askar-askar Amerika dan tentera perikatan diketuai AS.

Beliau berkata, kumpulan-kumpulan pro-Iran itu akan menggunakan kejadian pembunuhan anggota-anggotanya untuk memperkukuhkan lagi tentangan mereka ke atas tentera AS.

Kenyataan tersebut mungkin ada benarnya kerana seorang pemimpin kanan Hashed al-Shaabi yang pro-Iran membuat komen selepas kenyataan Slim itu bahawa kumpulan berkenaan akan membalas dendam terhadap kematian anggota-anggotanya yang terbunuh.

Seorang lagi penganalisis politik Iraq, Ihsan al-Shammari menyatakan bahawa Iran menggalakkan militia-militia Iraq untuk terus melakukan serangan kecil ke atas tentera AS di negara tersebut.

Bagaimanapun, katanya kepada AFP, Iran tidak mahu peperangan besar berlaku antara negaranya dengan AS. - Agens