Nek Dah lebih takut Covid-19 berbanding penjajah Jepun

Nek Dah akur kegusaran hidup di zaman penjajah adalah menakutkan terutama apabila diancam musuh dan menyifatkan kegusaran itu kini kembali dialami apabila dunia dilanda wabak Covid-19. - Foto Bernama
Nek Dah akur kegusaran hidup di zaman penjajah adalah menakutkan terutama apabila diancam musuh dan menyifatkan kegusaran itu kini kembali dialami apabila dunia dilanda wabak Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Di sebuah rumah tradisional Melayu, kelihatan seorang wanita warga emas sedang duduk di atas kerusi kayu usang memandang ke arah sawah padi sambil menyanyikan lagu Jepun yang dipelajari ketika zaman penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu dahulu.

Mengimbau detik kehidupan zaman tersebut, Dah Cha, 95, atau lebih dikenali sebagai Nek Dah, berkata pada masa itu tentera Jepun sangat garang sehingga orang kampung takut untuk keluar rumah terutamanya anak dara.

Namun berbanding dahulu katanya, sekarang beliau lebih takut berhadapan dengan musuh tidak nampak, iaitu wabak Covid-19.

"Dahulu orang takut tentera Jepun sebab mereka kejam sehingga sanggup membunuh, sekarang ini pula anak cucu semua takut wabak Covid-19 yang juga boleh membawa maut malah wabak berkenaan lebih kejam kerana ‘membunuh’ tanpa memilih orang.

"Ini membuatkan nenek sendiri pun lebih takut kerana berbanding askar Jepun kita boleh lari dan bersembunyi apabila bertembung, tetapi wabak ini (Covid--19) musuh yang tidak nampak," katanya kepada Bernama di kediamannya di Kampung Padang Jawa di sini, baru-baru ini.

Biarpun ingatannya semakin pudar dan ingat-ingat lupa, Nek Dah, sering dibantu anaknya,Gayah Ahmad, 66, dalam mengimbau kenangan lama, selain turut mengikuti perkembangan semasa.

"Zaman itu nak pergi sekolah pun takut. Nenek sempat sekolah sampai darjah tiga saja, emak suruh berhenti takut tentera Jepun potong kepala, sekarang anak cucu pula takut ke sekolah sebab Covid-19, sekolah pun ditutup," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengimbau detik kehidupan zaman penjajah, Nek Dah akur kegusaran hidup di zaman penjajah adalah menakutkan terutama apabila diancam musuh dan menyifatkan kegusaran itu kini kembali dialami apabila dunia dilanda wabak Covid-19. - Foto Bernama
Mengimbau detik kehidupan zaman penjajah, Nek Dah akur kegusaran hidup di zaman penjajah adalah menakutkan terutama apabila diancam musuh dan menyifatkan kegusaran itu kini kembali dialami apabila dunia dilanda wabak Covid-19. - Foto Bernama

Beliau tidak pernah menyangka anak cucu dan generasinya yang keempat sekarang perlu berhadapan dengan situasi hampir sama ketika zaman Jepun.

"Dahulu tak boleh keluar rumah sembarangan kalau tak ada tujuan, emak cakap tentera Jepun akan tangkap perawan (anak gadis). Sama juga seperti sekarang, tidak boleh keluar rumah jika tidak ada urusan penting kerana tidak tahu bahaya yang menanti," katanya.

Bercerita lanjut, ibu kepada empat orang anak itu berkongsi pengalaman bagaimana rakan baiknya dibawa lari tentera Jepun.

Katanya, tentera Jepun suka pada gadis sunti untuk dijadikan 'habuan' mereka dan beliau bernasib baik kerana ibunya melarang keluar rumah.

Ketika itu, bagi mengelakkan dikenali tentera Jepun, ujar Nek Dah, wajahnya akan diselubung dengan kain batik.

Beliau berkata, perkara itu tidak ada bezanya dengan keadaan sekarang apabila semua orang diminta memakai pelitup muka bagi mengelak daripada penularan wabak Covid-19.

Katanya, seperti penjajah, biarpun wabak Covid-19 ini adalah musuh tidak nampak, semua orang perlu sama-sama memeranginya dan 'memerdekakan' semula negara tanpa ancaman wabak berkenaan. - Bernama