Maritim tahan kapal tangki asing

Kapal tangki asing ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi pada Rabu.
Kapal tangki asing ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi pada Rabu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor pada Rabu menahan sebuah kapal tangki dan satu bot nelayan di dua lokasi di perairan Tanjung Sedili dekat sini.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan pertama melibatkan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Sierra Leone 16.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil pada jam 1.40 petang.

Beliau berkata, kapal tangki itu dikendalikan tujuh kru warga Indonesia berusia antara 36 hingga 54 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bagaimanapun, kapal berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu katanya, bot nelayan tempatan ditahan pada kedudukan 22.6 batu nautika timur Tanjung Sedili Besar kira-kira jam 3.45 petang.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan bot itu dikendalikan empat kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 44 tahun yang mempunyai dokumen serta permit yang sah.

Jelasnya, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda pukat kurang daripada jarak 30 batu nautika.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Maritim Negeri Johor 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999.

Artikel Berkaitan: