MEDAC rancang perkenal skim insurans kepada usahawan mikro, informal

Wan Junaidi (tengah) bersama para pegawai bertugas Kementerian Kesihatan (KKM) pada lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Khamis. - Foto Bernama
Wan Junaidi (tengah) bersama para pegawai bertugas Kementerian Kesihatan (KKM) pada lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) merancang untuk memperkenalkan skim insurans kepada usahawan mikro dan pengusaha perniagaan informal di seluruh negara, khususnya dalam kalangan B40.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu dilaksanakan kerana timbul kebimbangan ramai usahawan tidak mempunyai sebarang perlindungan atau insurans untuk mendepani waktu mencabar seperti Covid-19.

“Jadi dalam keadaan sedemikian, saya mencadangkan supaya kita laksanakan insurans dan saya telah berbincang kementerian (MEDAC) dan kita ada mekanisme cuma saya belum boleh mengumumkannya.

"Tetapi insya-ALLAH kita akan melaksanakan satu skim insurans untuk usahawan-usahawan kecil bagi mengelakkan perniagaan mereka terjejas pada masa-masa akan datang, kalau perkara sama atau perkara lain berlaku,” katanya kepada pemberita di sini padsa Khamis.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di sini.

Menurut Wan Junaidi, skim itu mungkin akan mengambil masa untuk dilaksanakan namun dijangka dapat memanfaatkan hampir 2.5 juta usahawan mikro dan informal seluruh negara termasuk 900,000 usahawan yang berdaftar dengan kementerian dan agensi berkaitan.

Mengenai isu lain, Wan Junaidi berkata, saranan MEDAC untuk memasukkan usahawan mikro dan pengusaha perniagaan informal ke dalam senarai program vaksinasi, secara prinsipnya, cadangan itu diterima oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Selain itu, beliau berkata, perbincangan mengenai mekanismenya juga telah dilakukan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Artikel Berkaitan:

“Mekanisme ini akan diperhalusi oleh semua pihak ini kerana kita (MEDAC) tidak kemampuan untuk membeli vaksin daripada pihak luar untuk diberikan kepada usahawan-usahawan ini memandangkan kosnya tinggi dan usahawan tidak mampu membeli vaksin," katanya.

Bulan lepas, MEDAC memaklumkan sedang berusaha untuk memastikan usahawan mikro dan pengusaha perniagaan informal tersenarai sebagai penerima utama vaksin, mengambil kira golongan berkenaan berurusan secara langsung dengan orang ramai, sekali gus wajar juga diiktiraf sebagai golongan barisan hadapan. - Bernama