Pelan antirasuah Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dilancar

Joachim (duduk, tiga, kanan) bersama sebahagian Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Sabah menunjukkan buku pelan anti rasuah bagi tempoh 2021-2025 selepas melancarkan buku tersebut, pada Khamis. - Foto Bernama
Joachim (duduk, tiga, kanan) bersama sebahagian Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Sabah menunjukkan buku pelan anti rasuah bagi tempoh 2021-2025 selepas melancarkan buku tersebut, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) hari ini melancarkan pelan antirasuah organisasi itu bagi memperkasa urusan pentadbiran, integriti dan antirasuah kementerian.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, pelan selama lima tahun bermula tahun ini, dirangka selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan menggariskan lima strategi utama sebagai peneraju pembudayaan ketelusan integriti.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata, lima strategi utama itu ialah meningkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan; dan memperkukuh kompetensi, integriti dan kredibiliti sebagai penghubung antara kerajaan dan agensi.

Tiga lagi strategi ialah meningkatkan kompetensi pegawai dan ketelusan pentadbiran kewangan; memperkasa perkhidmatan tadbir urus korporat yang baik; dan memperkukuh akauntabiliti dan integriti pihak berkepentingan.

“Dalam memperkukuh kualiti penyampaian kementerian ini, sebanyak 35 inisiatif telah dikenal pasti yang boleh memberikan impak besar ke arah memantapkan pemerkasaan urusan pentadbiran” katanya pada sidang media selepas melancarkan pelan itu di Wisma Kewangan di sini pada Khamis.

Joachim berkata, jawatankuasa antirasuah di peringkat kementerian itu akan diperkasakan bagi memastikan visi dan misi pelan dapat direalisasikan selain mengenal pasti penambahbaikan yang boleh diambil untuk pelaksanaan pelan antirasuah yang akan datang.

Beliau turut menyeru warga kementerian supaya berusaha meningkatkan kualiti sistem penyampaian agar semua inisiatif di bawah pelan itu dapat dicapai. -Bernama

Artikel Berkaitan: