Wakil rakyat Terengganu ikrar bebas rasuah

Ahmad Samsuri (kanan) mengetuai bacaan ikrar bebas rasuah melibatkan 24 wakil rakyat Terengganu.
Ahmad Samsuri (kanan) mengetuai bacaan ikrar bebas rasuah melibatkan 24 wakil rakyat Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu menjadi negeri kedua selepas kerajaan Melaka melaksanakan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi wakil rakyatnya, di negara ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu dibuat dalam membendung permasalahan rasuah di Terengganu, selain menyambut baik Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, pelaksanaan itu juga menunjukkan komitmen Kerajaan Terengganu yang amat serius dengan isu-isu integriti dan rasuah yang telah menyumbang banyak kerugian kepada negara.

“Pelaksanaan program IBR dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat ‘stake holders’ yang turut melibatkan ADUN menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri bagi melibatkan semua pihak dalam mencapai ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan awam, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Isu integriti bukan hanya terfokus kepada isu-isu rasuah sahaja, tapi ia merupakan konsep yang lebih besar dan amalan budaya kerja cemerlang berkait rapat dengan integriti.

“Saya harapkan melalui penganjuran majlis ini, semua wakil rakyat akan lebih berwaspada terhadap isu-isu yang diistilahkan sebagai tidak berintegriti,” katanya pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ADUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sebahagian daripada wakil rakyat Terengganu yang membaca ikrar bebas rasuah pada majlis berkenaan.
Sebahagian daripada wakil rakyat Terengganu yang membaca ikrar bebas rasuah pada majlis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Pada majlis itu, Ahmad Samsuri mengetuai bacaan ikrar dan menandatangani IBR, dan turut disertai oleh 23 ADUN Terengganu yang lain, termasuk ADUN Wanita, Zuraida Md Noor dan Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali.