Kerajaan tumpu penguatkuasaan di Selangor, Kuala Lumpur

Hamzah (tengah) pada sidang akhbar khas berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di kementeriannya pada Khamis.
Hamzah (tengah) pada sidang akhbar khas berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di kementeriannya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memberi lebih tumpuan penguatkuasaan kepada negeri-negeri yang mempunyai kes jangkitan positif Covid-19 yang masih tinggi seperti di Selangor dan Kuala Lumpur melalui Op Patuh besar-besaran bermula Jumaat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana banyak tangkapan yang dilakukan di Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum ini memaklumkan kontak rapat mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak dikuarantin.

“Apabila kita tanyakan, sesetengah daripada pekerja ini ada maklumkan kawan dia sudah kena Covid-19 tetapi yang lain tidak dikuarantin,” katanya pada sidang akhbar khas berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di kementeriannya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya sudah mengambil semua maklumat berkenaan perkara itu.

"Kita akan tangkap dengan majikan sekali kerana bukan hanya telah melakukan kesalahan tetapi mereka benar-benar menzalimi pekerja mereka,” katanya.

Menurut beliau, daripada risikan yang diterima pihaknya, ramai pekerja ini telah menjadi mangsa kepada majikan yang mengambil peluang semata-mata bagi mendapatkan keuntungan.

“Sebab itu, kita terpaksa lakukan ini supaya semua rakyat memahami kita bertanggungjawab untuk tidak menzalimi sesiapa dalam hal ini,” tegasnya.

Tambahnya, mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) telah menerima pemetaan kawasan perindustrian dan penginapan pekerja yang mempunyai potensi tinggi penularan Covid-19 hasil kerjasama kerajaan negeri Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan Op Patuh juga akan mengambil kira maklumat pemetaan tersebut dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dari masa ke masa,” katanya.

Hamzah berkata, Op Patuh pada Jumaat membabitkan strategi lebih drastik melalui pemeriksaan lebih menyeluruh dengan penggunaan aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak milik agensi penguatkuasaan yang terlibat.

“Di peringkat lapangan, Op Patuh besar-besaran ini akan dikoordinasikan dan diketuai oleh ketua polis daerah di seluruh negara sebagai ‘ground commander’ bersama semua anggota penguat kuasa dari jabatan atau agensi lain,” katanya.