X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Mayat wanita Malaysia tanpa kepala ditemui di Britain

Mayat Mee Kuen Chong, 67, dijumpai di dalam kawasan hutan berhampiran bandar peranginan Salcombe yang terletak 350 kilometer (km) dari rumahnya. - Agensi
A
A

PETALING JAYA - Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Wembley, London lebih dua minggu lalu ditemui dalam keadaan mayatnya tanpa kepala pada Ahad lalu, kata polis Britain.

Mayat Mee Kuen Chong, 67, dijumpai di dalam kawasan hutan berhampiran bandar peranginan Salcombe yang terletak 350 kilometer (km) dari rumahnya.

Akhbar Daily Mirror memetik jurucakap polis daerah Devon dan Cornwall, Detektif Ben Deer menyebut, Kuen Chong dilaporkan hilang pada 11 Jun lalu dan kematiannya diklasifikasikan sebagai 'tidak dapat dijelaskan'.

“Mayatnya telah dibuang di situ selama beberapa hari. Pihak polis sedang menyiasat pergerakan Kuen Chong pada 10 hingga 27 Jun.

“Kami sedang siasat sama ada mangsa ada menetap di mana-mana motel atau rumah tumpangan di Salcombe kerana jarak perjalanan dari London ke bandar tersebut memakan masa lebih dari empat jam,” kata detektif itu.

Antara premis yang turut disiasat adalah Salcombe Harbour Hotel yang terletak tidak jauh dari kawasan mayat Kuen Chong dibuang.

Kuen Chong berasal dari Kuala Lumpur dan mula menetap di London sejak tahun 2004.

Mayat Kuen Chong ditemui di kawasan hutan tidak jauh dari Salcombe Harbour Hotel kira-kira jam 5 petang (waktu tempatan).

Lokasi penemuan mayat tersebut sering digunakan penduduk tempatan untuk beriadah dan kini telah ditutup. - Agensi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!