Rosakkan cermin tiga kereta, penganggur didenda RM5,400

Seorang penganggur didenda RM5,400 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas mengaku bersalah merosakkan cermin tiga kenderaan dalam kejadian 26 Jun lalu.
Seorang penganggur didenda RM5,400 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas mengaku bersalah merosakkan cermin tiga kenderaan dalam kejadian 26 Jun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Padah merosakkan cermin tiga kenderaan milik tiga individu, seorang penganggur didenda RM5,400 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Kow Wai Foo, 42, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Wai Foo didapati melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta Proton Iris milik Nga Lik Hing, 38; kereta Nissan Grand Livina milik Yap Kau Chai, 71, dan Proton Saga milik Yap Wing Leong, 31.

Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Jinma, Seri Kembangan pada jam 9.57 pagi, 26 Jun lalu.

Atas kesalahan itu dia boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tiga pengadu mendapati cermin kenderaan mereka rosak lalu memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah masing-masing.

Mereka mendapati tertuduh menyebabkan kerosakan berkenaan dengan membaling batu bata ke arah kereta tersebut.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran, dengan mengambil kira kerugian yang ditanggung oleh ketiga-tiga pengadu.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana tidak bekerja.

"Ya, ya, saya sudah mengaku rosakkan kereta-kereta itu, hukum sahajalah," katanya.