Geng edar ganja tumpas, empat lelaki tempatan diberkas

Mohamad Fakhrudin (dua kiri) dadah jenis ganja dan wang tunai susulan tertangkapnya empat lelaki di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, pada Selasa.
Mohamad Fakhrudin (dua kiri) dadah jenis ganja dan wang tunai susulan tertangkapnya empat lelaki di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Kegiatan pengedaran dadah jenis ganja yang didalangi warga tempatan ditumpaskan susulan tertangkapnya empat lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan pertama kira-kira jam 2.20 petang di kawasan parkir pasar raya di Taman Maju Jaya, Petaling Jaya berjaya menahan dua lelaki dalam sebuah kereta jenis Peugeot.

Menurut beliau, pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui satu beg galas berisi dadah jenis ganja seberat kira-kira 1 kilogram selain merampas wang tunai RM5,000.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai sedang menjalankan urusan jual beli dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Khamis.

Beliau berkata, susulan itu, pada hari yang sama kira-kira jam 6.15 petang, soal siasat kedua-dua suspek berjaya memberkas dua lagi rakan sejenayah di sebuah apartmen di Taman Pasir Permata, Kuala Lumpur, yang dijadikan tempat pembungkusan dadah.

Mohamad Fakhrudin menunjukkan rampasan kenderaan susulan penahanan empat lelaki di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, pada Selasa.
Mohamad Fakhrudin menunjukkan rampasan kenderaan susulan penahanan empat lelaki di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, pada Selasa.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui lapan ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 5.2 kg. Turut ditemui adalah papan pemotong, alat penimbang, pisau pemotong, gunting, pita pelekat dan botol kaca.

"Sebuah kereta jenis Kia Forte dan Yamaha 135LC telah disita untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya percaya jumlah kesemua rampasan dadah bernilai RM22,943.70 itu mampu dibekalkan kepada 6,200 orang penagih.

"Siasatan polis mendapati geng ini telah aktif mengedar dadah ganja sejak tahun lalu dengan mendapatkan bekalan daripada sindiket sebelum dibuat pembungkusan semula.

"Siasatan masih dijalankan untuk memburu dua lagi rakan sepenjenayah suspek," katanya.

Tegasnya, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.