57 peratus guru SPM, STPM di Terengganu sudah divaksin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 57.61 peratus guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima dan Enam di sekolah menengah Terengganu sudah menerima suntikan sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 sehingga Jun.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, jumlah itu melibatkan 2,056 orang daripada 3,569 guru yang mengajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Daripada jumlah guru sudah divaksin itu, 1,589 orang adalah guru Tingkatan Lima manakala 467 orang lagi cikgu yang mengajar Tingkatan Enam,” katanya ketika ditanya perkembangan pemberian vaksin guru di negeri ini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas hadir menerima sumbangan berjumlah RM341,000 daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris untuk diagihkan kepada 341 pelajar cemerlang SPM 2020 negeri ini.

Sumbangan sebanyak RM1,000 seorang itu diberikan Ketengah untuk membantu pelajar cemerlang SPM melakukan persediaan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi lebih-lebih lagi di saat pandemik Covid-19.

Menurut Salim, pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada guru Tingkatan Lima dan Enam akan diteruskan bagi memastikan semua guru dapat divaksin sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula.

“Selain guru, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga sudah mengambil data pelajar Tingkatan Lima dan Enam negeri ini sebagai persediaan suntikan vaksin Covid-19. Ia melibatkan lebih 20,000 pelajar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bersetuju untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada pelajar kelas peperiksaan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, cadangan tersebut telah diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pelajar-pelajar berkenaan diberi keutamaan terlebih dahulu.

Menurut laporan itu, lebih 90,000 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.