PH persoal vaksinasi Johor masih 'lembab'

Aminolhuda Hassan, Syed Ibrahim, Liew Chin Tong
Aminolhuda Hassan, Syed Ibrahim, Liew Chin Tong
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan perlu memberi penjelasan mengenai kekurangan bekalan dos vaksin Covid-19 di Johor yang didakwa menjadi punca proses vaksinasi perlahan dan tidak konsisten.

Tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor dalam kenyataan bersama mendakwa, kekurangan bekalan vaksin di Johor amat mengecewakan dan tidak seharusnya berlaku ketika negara sedang melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mereka ialah Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi PH Johor; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Liew Chin Tong.

Menurut kenyataan itu situasi berkenaan turut menjejaskan perancangan Johor untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di negeri ini divaksin bagi mencapai sasaran imuniti kelompok pada hujung Oktober tahun ini.

"Jumlah pendaftaran vaksin di Johor meningkat kepada 2.1 juta orang atau 77.5 peratus.

Malangnya, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV) menunjukkan hanya 443,421 orang rakyat Johor atau 11.7 peratus sahaja yang menerima suntikan dos pertama setakat 29 Jun.

"Kadar vaksinasi di Johor ini lebih rendah berbanding Sarawak iaitu sebanyak 1.03 juta orang (36.6 peratus) dan Selangor seramai 914, 648 orang (14.0 peratus) malah ramai warga Johor yang belum mendapat vaksin dos pertama.

"Pada 28 Jun lalu, jumlah penerimaan vaksin di Johor turun mendadak kepada 8,633 dos sehari, paling rendah dalam tempoh 14 hari ini," menurut kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

PH Johor menegaskan, berdasarkan situasi kekurangan bekalan vaksin yang ketara serta jumlah purata rakyat Johor yang divaksin pada kadar 18,000 orang per dos sehari, maka sasaran Johor untuk mencapai imuniti kelompok pada akhir Oktober adalah mustahil dicapai.

Kenyataan itu juga menyebut, berdasarkan fakta, imuniti kelompok Johor hanya boleh dicapai menjelang Mei 2022 dan situasi berkenaan amat membimbangkan.

"Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu memberi penjelasan, mengapakah kadar vaksinasi di Johor semakin menurun walaupun mempunyai populasi kedua terbesar di Malaysia selepas Selangor dan merupakan penyumbang penting ekonomi negara.

"Seperti yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bersikap lebih proaktif bagi mengatasi masalah bekalan vaksin serta meningkatkan kadar imunisasi di Johor secepat mungkin.

"Kerajaan negeri perlu merangka satu pelan strategi untuk meningkatkan kadar vaksinasi di Johor, khususnya dengan peruntukan RM40 juta untuk membeli vaksin dari Singapura agar Johor dapat memenuhi 20,000 suntikan vaksin sehari kepada rakyatnya menerusi 35 PPV seluruh negeri ini sepertimana paparan di portal rasmi JKJAV," jelas kenyataan itu.

PH Johor menegaskan, usaha mempercepatkan proses pemberian vaksin di Johor adalah langkah yang amat penting untuk membuka semula serta merancakkan sektor ekonomi negeri yang terjejas teruk akibat krisis pandemik.

Ia juga boleh menyegerakan proses pembukaan sempadan Singapura-Johor yang akan memberi manfaat kepada pekerja tempatan, termasuk ekonomi negara.