X

Kindly register in order to view this article
!

Boleh guna STPM untuk mohon universiti luar negara

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dikeluarkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu kerana calon boleh menggunakan sijil tersebut untuk ke universiti luar negara.

Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, inisiatif itu selari dengan penetapan standard peperiksaan STPM 2020 yang diterima di peringkat antarabangsa (global) sejak 1982.

"Penetapan standard STPM 2020 dilaksanakan dengan efisien melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan STPM 2020 dengan dinasihati dan diselia oleh Cambridge Assessment International Education, United Kingdom (UK).

"Nasihat dan penyeliaan secara berterusan dari Cambridge Assessment International Education, UK adalah bertujuan mengekalkan standard yang telah dilaksanakan sejak STPM 1982," katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2020 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Wahid berkata, pengiktirafan dari Cambridge Assessment International Education, UK itu terzahir di belakang Sijil STPM.

Katanya, wakil dari Cambridge Assessment International Education, UK yang hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan STPM 2020 ialah Mark Dowling dan Kate Jenkinson.

"MPM mempunyai jalinan akrab dan akan meneruskan kolaborasi yang baik dengan Cambridge Assessment International Education, UK.

"Ini bagi memastikan sijil STPM sejak tahun 1982 diiktiraf setaraf dengan GCE Advanced Level yang dikelolakan oleh Cambridge Assessment International Education dan STPM terus diiktiraf di seluruh dunia," katanya.

Menurut Wahid, MPM juga akan memastikan peperiksaan STPM dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dikelolakan mengikut standard piawaian seperti yang telah dianugerahkan kepada MPM dengan Sijil Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 (QMS01934) yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Beliau menegaskan, MPM juga akan terus memperkasakan jalinan hubungan dengan International Association for Educational Assessment (IAEA), Amerika Syarikat yang merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa yang dianggotai oleh badan pentaksiran pendidikan yang terkemuka di dunia dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang pentaksiran selaras dengan keahlian MPM sebagai Ahli Tetap IAEA sejak 1984.

Dalam perkembangan sama, Wahid berkata, MPM juga telah mensejajarkan ujian MUET berdasarkan sukatan dan spesifikasi MUET yang selaras (align) dengan Common European Framework of Reference (CEFR) mulai MUET Sesi 1 2021.

Katanya, ia bertujuan untuk memperkasakan standard MUET mengikut piawai antarabangsa dan seiring dengan usaha mengantarabangsakan MUET ke pasaran luar negara.

"MPM telah berjaya menerobos pasaran MUET di Jakarta dan Lombok, Indonesia pada tahun 2019.

"Sebagai permulaan, Way Forward MPM dan sebagai tindakan pasca Covid-19, pada tahun 2020 MPM telah melaksanakan pemeriksaan secara dalam talian (e-marking) terhadap dua mata pelajaran iaitu Syariah (930) dan ICT (958)," katanya.

Justeru itu, katanya, MPM merancang untuk melaksanakan e-marking terhadap semua mata pelajaran di masa hadapan berdasarkan ketetapan prosedur yang sedia ada.

Ujar beliau, sebagai tambahan kepada rancangan Way Forward MPM juga dan natijah daripada implikasi Covid-19 pada tahun 2020 MPM buat pertama kalinya telah melaksanakan peperiksaan secara e-Testing iaitu peperiksaan secara dalam talian sepenuhnya kepada bakal doktor pakar perubatan peperiksaan Medical Specialist Pre-Entrance Examinations (MedEx) 2020.

"Peperiksaan MedEx merupakan peperiksaan yang dikelolakan oleh MPM mulai tahun 2019 bagi pihak Majlis Dekan Perubatan Universiti Awam.

"e-Testing berikutnya ialah peperiksaan Imtihan al-Kafaah Li a-Lughah al-Arabiyyah (IKLA) yang akan dikendalikan oleh MPM bagi pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)," katanya.

Melalui e-Testing tersebut, calon boleh menduduki peperiksaan di tempat masing-masing tanpa perlu bergerak ke pusat peperiksaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!