Ahli AMK Selangor hilang kepercayaan kepada Akmal Nasrullah


Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menuntut Kongres AMK Luarbiasa (EGM) diadakan bagi memilih semula Ketua AMK Malaysia baharu kerana hilang kepercayaan terhadap Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Gagasan tersebut dibuat melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua AMK Kuala Langat, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman; Ketua AMK Puchong, Mohd Fitri Jamaludin; Ketua AMK Damansara, Muhammad Dzul Hilmi Zainol; Ketua AMK Hulu Langat, Muhammad Hanafi Jalalludin; Ketua AMK Bangi, Saiful Azlan Zainal dan Ketua AMK Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

Turut sama, Ketua AMK Tanjong Karang, Mohd Helmi Sanusi; Ketua AMK Kota Raja, Jestin Raj Savarimuthu; Ketua AMK Klang, Ahmad Faiz Mustapa Kamal; Ketua AMK Petaling Jaya, Shahrulznizam Abdul Rahim; Ketua AMK Kapar, Megat Shariffudin Shaharuddin; Ketua AMK Gombak, Arie Yudistira Ishaq Arifin Fadli dan Ketua AMK Ampang, Awalluddin Shariff.

Menerusi kenyataan tersebut, mereka menolak cadangan pelantikan calon Ketua AMK Selangor yang baharu iaitu Chua Wei Kiat dalam mesyuarat yang diadakan secara maya pada Selasa.

“Menerusi perbincangan bersama Ketua AMK Malaysia dalam pertemuan secara maya yang dihadiri oleh 15 ketua AMK Cabang, hanya Ketua AMK dari cabang Shah Alam, Sabak Bernam dan Sepang tidak membantah pencalonan Wei Kiat sebagai Ketua AMK Negeri Selangor baharu.

"Secara kolektif, semua Ketua-ketua AMK Cabang mencadangkan kepada Ketua AMK Malaysia agar Ketua AMK Negeri baharu dipilih dalam kalangan mereka yang memiliki sokongan majoriti.

“Kami mewakili majoriti Ketua-ketua AMK Cabang dalam Selangor menolak pelantikan Ketua AMK Selangor yang baharu dan secara sebulat suara memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku Ketua AMK Malaysia,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Pada Isnin, bekas Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi digugurkan daripada jawatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik mengesahkan perkara tersebut setelah menerima surat pemecatan daripada Setiausaha AMK Malaysia, Ahmad Syukri Che Ab Razak sekitar jam 11 pagi pada hari sama.