X

Kindly register in order to view this article
!

Orang asli sedia divaksin segera

Penduduk orang asli di sekitar Kampung Tering, Johol menerima vaksin dos pertama pada Khamis.
A
A

KUALA PILAH - Kebanyakan penduduk di empat buah perkampungan orang asli di sini enggan bersikap tunggu dan lihat sebaliknya bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan segera.

Ini berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk terbabit ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Kampung Orang Asli Tering, Johol pada Khamis.

Datuk Batin Mukim Johol, Alam Suhut berkata, lebih 100 penduduk orang asli di Kampung Tering, Simpang Tering, Senibai dan Air Rengas datang ke kampung ini untuk menerima vaksin.

"Bagaimanapun jumlah vaksin yang ada adalah terhad iaitu sebanyak 120 dos, namun permintaan daripada penduduk setempat lebih daripada itu.

"Ini kerana masing-masing sudah mula ada kesedaran berhubung kepentingan vaksin selain melihat ada dalam kalangan orang asli yang maut disebabkan wabak itu," katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Hadir sama, Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah ; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Pilah, Dr. Noraliza Radzali.

Penduduk Kampung Tering, Edry Ashraf Baharin, 19 berkata, pada awalnya dia berasa takut untuk menerima vaksin susulan terpengaruh dengan berita palsu mengenai vaksin di media sosial yang mendakwa ada individu maut setelah menerima dos pertama vaksin.

"Hari ini saya datang secara sukarela untuk menerima vaksin kerana ternyata maklumat tular di media sosial itu adalah tidak benar malah melihat Tok Batin sendiri sudah lengkap dua dos suntikan dan sihat, hal itu lebih menyakinkan saya bahawa vaksin ini adalah selamat," katanya.

Sementara itu, Dr. Noraliza berkata, sehingga kini PPV Bergerak Kuala Pilah telah ke empat buah perkampungan orang asli melibatkan Kampung Ulu Mampas, Kampung Langkap, Kampung Air Runtuh dan Kampung Tering.

"Sambutan PICK daripada orang asli sekitar Kuala Pilah begitu memberansangkan dan ada yang membuat permohonan supaya PPV Bergerak ini datang ke kampung mereka.

"Di Kuala Pilah, kita ada 14 buah perkampungan orang asli dan dalam bulan ini kita akan menerima lebih banyak vaksin sekali gus membolehkan orang asli di sini menerima suntikan vaksin masing-masing," katanya.

Beliau berkata, seramai 136 orang asli di daerah ini disahkan positif wabak itu sejak pendemik itu berlaku melibatkan tujuh perkampungan orang asli iaitu Kampung Charik (10 kes), Senibai (dua kes), Langkap (tiga kes), Bari (67 kes), Kelapi (35 kes ), Chergun (satu kes) dan Guntur (18 kes).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!