X

Kindly register in order to view this article
!

MPOB jangka eksport olein sawit RBD ke India meningkat

Malaysia mengeksport purata 550,000 tan metrik RPO ke India dari 2010-2018, namun melonjak kepada 2.6 juta tan metrik pada 2019. (Gambar hiasan)
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia kini boleh mengeksport lebih banyak olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) ke India selepas negara itu memansuhkan sekatan selama 18 bulan ke atas import produk minyak sawit ditapis.

“Ini merupakan berita baik kepada kita dan kita berharap boleh mengeksport lebih banyak minyak sawit merah (RPO) yang mempunyai komposisi asid lemak yang sama seperti minyak sawit RBD ke India,” kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.

Beliau berkata, Malaysia mengeksport purata 550,000 tan metrik RPO ke India dari 2010-2018, sambil menambah eksport produk itu melonjak kepada 2.6 juta tan metrik pada 2019.

Ini hasil daripada Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India yang memberikan RPO Malaysia kelebihan cukai lima peratus berbanding RPO Indonesia.

“Malangnya, selepas sekatan dikenakan pada 8 Jan, 2020, kita hanya dapat mengeksport 150,000 tan metrik RPO," katanya.

Menurut satu pemberitahuan oleh Direktorat Am Perdagangan Luar Kementerian Perdagangan India pada Rabu, import olein sawit RBD akan dibenarkan tanpa sekatan sehingga akhir tahun ini.

Awal minggu ini, kerajaan India mengumumkan langkahnya untuk mengurangkan duti import ke atas minyak sawit mentah (MSM) daripada 15 peratus kepada 10 peratus.

ARTIKEL BERKAITAN: India mansuh sekatan ke atas import minyak sawit bertapis

Pada harga semasa antara RM3,500 dan RM3,800 setan metrik, eksport MSM ke negara pengguna minyak sawit terbesar dunia itu dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat ini, kata MPOB.

Menurut data MPOB, eksport minyak sawit Malaysia ke India meningkat lebih daripada lapan kali ganda kepada 1.29 juta tan metrik dari Januari sehingga Mei 2021, daripada 0.15 juta tan metrik yang direkodkan semasa tempoh yang sama pada 2020. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!