Tiga menara telekomunikasi akan dibina di Kuala Krai

Tiga menara telekomunikasi bakal dibina di Kuala Krai dan dijangka siap pada April 2022.
Tiga menara telekomunikasi bakal dibina di Kuala Krai dan dijangka siap pada April 2022.
A
A
A

KOTA BHARU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah memasukkan pembinaan tiga menara telekomunikasi baharu menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa Satu bagi menangani masalah capaian internet di tiga perkampungan di Kuala Krai.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, ketiga-tiga kampung berkenaan adalah Kampung Bahagia, Kampung Mambong serta Kampung Sungai Rimau dan pembinaan itu dijangka siap pada April 2022.

"Apabila kerja-kerja pembinaan menara baharu itu siap nanti, ia dijangka membantu menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi selain memberi manfaat kepada 1,800 orang penduduk di ketiga-tiga kampung berkenaan termasuk kepada pelajar," menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu juga memberitahu, satu pertemuan bagi mendapatkan gambaran berhubung masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat dan menjelaskan perancangan SKMM telah diadakan, semalam.

Pertemuan tersebut melibatkan pihak MCMC negeri Kelantan, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Guchil Hilmi Abdullah, Ketua Kampung Bahagia Mohamad Zain Abdul Majid, seorang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mimi Aina Syahira Muhamad serta wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

Pada 29 Jun lepas, media melaporkan kira-kira 400 pelajar dan penuntut universiti membabitkan lima kampung di Mukim Mambong, di Kuala Krai, terpaksa merempuh perjalanan lima kilometer ke puncak bukit Kampung Bahagia, demi mendapatkan capaian internet bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). -Bernama

Artikel Berkaitan: