Sila log masuk terlebih dahulu.

Padang Terap daerah pertama Kedah wujud PPV pandu lalu

Mohd Hayati (kanan) membuat pemeriksaan suhu ke atas penerima vaksin pandu lalu, Umi Kalsom Mahmud, 51 di pekarangan Pejabat Daerah Padang Terap pada Khamis.
Mohd Hayati (kanan) membuat pemeriksaan suhu ke atas penerima vaksin pandu lalu, Umi Kalsom Mahmud, 51 di pekarangan Pejabat Daerah Padang Terap pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERANG - Padang Terap muncul daerah pertama di Kedah yang mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu dalam usaha untuk meningkatkan jumlah pemberian vaksin di daerah dan negeri ini.

Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, secara keseluruhan sebanyak 10,813 individu telah menerima dos pertama manakala 8,564 individu pula menerima dos kedua daripada lebih 72,000 penduduk yang layak divaksinasi di daerah ini.

Menurutnya, pelbagai usaha yang digerakkan oleh Majlis Daerah Padang Terap termasuk mewujudkan unit bergerak vaksinasi sebelum ini menyaksikan daerah itu muncul daerah kedua penduduk paling tinggi di Kedah menerima vaksin.

"Ini adalah satu perkembangan yang baik kerana daerah Padang Terap muncul daerah kedua tertinggi menerima vaksin iaitu lebih 14 peratus selepas Langkawi dengan lebih 20 peratus.

"Kaedah pandu lalu ini sudah diamalkan di beberapa negeri namun di Kedah, Padang Terap yang pertama melakukannya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Vaksinasi Pandu Lalu di Pejabat Daerah Padang Terap pada Khamis.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Munir Zakaria, ADUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin dan Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, kaedah pandu lalu ini sedang dipantau oleh pihaknya dan bakal diaplikasikan ke daerah-daerah lain di negeri ini kerana memerlukan tempat yang sesuai dan kondusif.

Menurutnya, Padang Terap juga kini dalam perkembangan baik menuju ke arah zon hijau berdasarkan situasi semasa dan perkembangan yang ditunjukkan di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 74 individu menerima vaksin dos kedua secara pandu lalu pada hari pertama ini.

"Kalau vaksin tiba banyak di Kedah, maka kaedah pandu lalu ini akan digunakan di daerah-daerah lain untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat," ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima vaksin secara pandu lalu, Ilyasak Jamil, 53, berkata, usaha yang digerakkan oleh Pejabat Daerah Padang Terap itu memberikan kelegaan kepada penduduk yang tidak perlu menunggu lama untuk menerima vaksin.

"Semasa menerima vaksin dos pertama di PPV Kuala Nerang perlu beratur panjang tapi secara pandu lalu ini hanya mengambil masa 15 minit," katanya.