Ketengah sumbang RM1,000 kepada pelajar cemerlang SPM, STPM

Razali (dua dari kanan) menyerahkan mock cek berjumlah RM341,000 kepada Salim (dua dari kiri) untuk diagihkan kepada 341 pelajar memperoleh semua A dalam keputusan SPM 2020.
Razali (dua dari kanan) menyerahkan mock cek berjumlah RM341,000 kepada Salim (dua dari kiri) untuk diagihkan kepada 341 pelajar memperoleh semua A dalam keputusan SPM 2020.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memberi insentif khas kepada pelajar Terengganu berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 yang diumumkan pada Khamis.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, sumbangan sebanyak RM1,000 seorang itu diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 atau lebih kenali sebagai '4 flat'.

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan pemberian insentif sama oleh Ketengah kepada 341 pelajar negeri ini yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 diumumkan pada 10 Jun lalu.

“Saya difahamkan seramai 55 pelajar mendapat '4 flat' dalam keputusan STPM yang baru diumumkan hari ini. Kita akan dapatkan data dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) nanti untuk kita uruskan insentif khas ini.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu pelajar cemerlang SPM dan STPM melakukan persediaan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi lebih-lebih lagi di saat pandemik Covid-19 sekarang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kecemerlangan SPM 2020 CSR Ketengah di Ketengah Holding, di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Razali menyerahkan sumbangan berjumlah RM341,000 kepada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab. Ghani untuk diberikan kepada 341 pelajar SPM cemerlang di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, Ketengah turut menyumbang 900 tablet kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sebagai kemudahan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, 70 peratus sumbangan itu diberikan kepada pelajar-pelajar yang tinggal di wilayah Ketengah manakala selebihnya di kawasan lain melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM351,000.

Artikel Berkaitan:

“Setiap pelajar yang terima tablet ini akan turut diberikan wang RM50 untuk mereka beli simkad sesuai dengan capaian rangkaian telekomunikasi kawasan masing-masing. Usaha ini untuk kita pastikan pelajar kita tidak keciciran dalam pendidikan,” katanya.