Belgium nombor satu, Itali tetap terhangat di pasaran

Dries Mertens
Dries Mertens
A
A
A

PEMAIN Belgium, Dries Mertens menyifatkan perlawanan pusingan lapan terbaik Euro 2020 menentang Itali minggu ini bukan sekadar aksi berintensiti tinggi kedua-dua pasukan pilihan tersebut.

Sebaliknya menurut Mertens, aksi menentang The Azzurri itu juga adalah manifestasi kepada proses pemerhatiannya selama lapan tahun di negara berkenaan.

"Secara peribadi perlawanan menentang pasukan berprofil tinggi seperti Itali merupakan satu penghormatan kepada saya.

"Saya telah bermain di sana selama lapan tahun dan mengenali cara dan corak permainan dalam kalangan pemain Itali.

"Sejujurnya, saya merupakan peminat pasukan Itali, pada saya secara keseluruhan Itali konsisten mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan," katanya.

Mertens menyertai kelab liga Itali, Napoli pada 2013 melakukan 265 penampilan dan telah menjaringkan 106 gol bersama kelab tersebut.

Jelas Mertens lagi, skuad kendalian Roberto Mancini dibarisi barisan pemain berpakej lengkap untuk meraih kejuaraan saingan kali ini.

"Skuad Itali generasi edisi Euro 2020 kali ini terdiri dalam kalangan pemain senior berpengalaman dan junior berbakat yang mengetahui cara memainkan bola di padang.

Artikel Berkaitan:

"Buktinya mereka telah melebarkan tempoh kemenangan setiap kali menentang lawan, selain hanya melepaskan beberapa jaringan. Ini merupakan skuad yang gandingnya mantap.

"Saya percaya tidak ramai menyangkakan Itali memainkan perlawanan dengan corak menyerang, tapi mereka telah meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap pendekatan tersebut dan ia berjaya disempurnakan dengan baik oleh pemain Itali," ujar Mertens yang mengakui Itali tetap merupakan pilihan walaupun Belgium berstatus nombor satu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Anak buah Mancini kini dalam pemburuan rekod tanpa kalah dalam 31 perlawanan, selepas kali terakhir tewas 0-1 kepada Portugal dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA pada September 2018.