MTUC desak kerajaan benarkan pegawainya hadir ke pejabat

MTUC mendesak kerajaan membenarkan pegawai kesatuan itu hadir ke pejabat bagi memberi perkhidmatan kepada pekerja yang terkesan dengan pandemik Covid- 19.
MTUC mendesak kerajaan membenarkan pegawai kesatuan itu hadir ke pejabat bagi memberi perkhidmatan kepada pekerja yang terkesan dengan pandemik Covid- 19.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan membenarkan pegawai kesatuan itu hadir ke pejabat bagi memberi perkhidmatan kepada pekerja yang terkesan dengan pandemik Covid- 19.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, kebenaran tersebut bagi mencerminkan keprihatinan dan pengiktirafan kerajaan terhadap kesatuan sekerja dalam membantu pekerja.

Menurut beliau, perkhidmatan berkait dengan firma guaman telah dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dikategorikan sebagai perkhidmatan penting sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 namun berbeza dengan perkhidmatan kesatuan sekerja.

"MTUC telah menghantar surat kepada MKN bertarikh 15 Jun 2021 melalui e-mel untuk memohon kebenaran untuk pegawai kesatuan bekerja dan telah memberi salinan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"MTUC berasa kecewa dengan MKN yang tidak memberi maklum balas dan MTUC menganggap bahawa MKN tidak peka dalam isu pekerja.

"Adakah MKN tidak memahami fungsi dan perkhidmatan kesatuan sekerja atau tidak mengambil berat soal pekerja?," soalnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, MKN seharusnya mendapatkan input daripada pihak KSM yang menyelia kesatuan sekerja.

"Apakah sumbangan kesatuan sekerja dalam membantu pekerja tidak mendapat pengiktirafan kerajaan?. Kerajaan boleh merujuk Akta Kesatuan Sekerja 1959 bagi justifikasi kebenaran perjalanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Kamarul Baharin berkata, dengan peningkatan pembuangan pekerja dan isu-isu berkaitan pekerjaan seperti pemotongan gaji, kerja yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) MKN, telah menyebabkan peningkatan kes positif di tempat kerja sehingga memberi tekanan kepada pekerja.

Tegas beliau, pekerja bergantung kepada pegawai kesatuan untuk membantu menyelesaikan isu-isu tersebut.

"Kerajaan boleh mengurangkan beban dalam menangani kesan Covid-19 dengan mengagihkan tanggungjawab berkaitan isu pekerja kepada kesatuan sekerja.

"Ini selaras dengan 'Konsep tripartite' antara kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja dalam isu melibatkan kepentingan pekerja," katanya.

Jelas beliau, persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang sedang berlangsung telah menyatakan bahawa kesatuan sekerja mesti bersama-sama dalam membantu menghadapi pandemik Covid-19.