Bicara kes Shafee gubah wang haram bersambung 22 Julai

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan bersambung 22 Julai di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, perbicaraan kes itu yang sepatutnya memasuki hari ketiga hari ini, dilapangkan berikutan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin akan bersambung pada 22 Julai ini,” katanya ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee ketika dihubungi berkata perbicaraan kes tersebut dijadual berlangsung pada 22 dan 23 Julai serta 6 Ogos ini.

Setakat ini, tiga saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lepas.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014. - Bernama

Artikel Berkaitan: