'Saya pun ada maklumat...' - Mahfuz

Mahfuz (kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada penerima sempena program jejak asnaf dan penyerahan dana khas DUN Derga.
Mahfuz (kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada penerima sempena program jejak asnaf dan penyerahan dana khas DUN Derga.
A
A
A

ALOR SETAR - Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menempelak kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengulangi dakwaan mempunyai maklumat berhubung komplot rakan komponen PH mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Katanya, Abdul Hadi sering mengubah pendirian dan merupakan seorang pemimpin yang berdolak-dalik.

Menurutnya, Abdul Hadi sebelum ini mengkritik Dr Mahathir, dengan membuat kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu akan merosakkan negara sekiranya diangkat sebagai perdana menteri.

“Jika Pas bertegas sekali lagi konon ada maklumat berkaitan komplot itu, saya pun ada maklumat Abdul Hadi pernah buat kenyataan minta rakyat tolak PH dan Dr Mahathir kerana negara dalam bahaya jika beliau kembali terajui negara,” katanya.

Mahfuz berkata, pendirian Abdul Hadi berubah mengikut masa, iaitu sebelum dan selepas PRU14, di mana kini beliau tegaskan mahu menyokong kepimpinan Dr Mahathir.

“Sebelum PRU14, Abdul Hadi kata, Dr Mahathir akan menjahanamkan negara, sekarang beliau kata mahu selamatkan Dr Mahathir pula. Hakikatnya, tak ada pun usaha dalam PH untuk singkirkan Dr Mahathir,” katanya.

Pada 6 Mei 2018, Abdul Hadi meminta rakyat menolak PH dan Dr Mahathir kerana didakwa negara berada dalam bahaya, jika PRU14 dimenangi pakatan itu.

Ini kerana, katanya, PH tidak meletakkan Islam sebagai teras utama mentadbir negara dan keadaan itu diburukkan lagi oleh sikap DAP yang akan melakukan apa sahaja untuk melemahkan orang Islam.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz berkata, Pas sebenarnya tersepit antara perbuatan lampau dan kenyataan pemimpinnya sendiri, sehingga parti itu sanggup melakukan apa sahaja.

“Dr Mahathir sendiri sudah jelaskan banyak kali, beliau akan berundur apabila tiba masanya seperti dalam perjanjian Majlis Presiden PH, dan digantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak perlulah Pas cuba alihkan isu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya Pas cuba mengalih perhatian rakyat berhubung isu melanda parti itu, yang dikaitkan dengan dana 1MDB melibatkan RM90 juta serta penyaluran dana daripada UMNO.

“Saya pun ada maklumat... saya berani akui Pas terima duit UMNO, jumlahnya biar SPRM siasat, mereka tak boleh nafi lagi. Saya pernah dedahkan dulu, sampai sekarang Pas tak ambil tindakan terhadap saya,” katanya.

Mahfuz berharap, semua bukti termasuk dokumen transaksi bank antara dua parti itu akan didedahkan setelah kes itu didakwa di mahkamah.

Kelmarin, Abdul Hadi sekali lagi tegaskan beliau mempunyai maklumat dan secara sinis menyebut, ‘kalau tak ada angin, pokok tak bergoyang’ bagi menggambarkan wujud komplot undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir oleh dua parti komponen PH.

Katanya, disebabkan itu Pas akan memberi sokongan kepada Dr Mahathir demi kepimpinan Islam walaupun sebagai pembangkang.