Rampasan bernilai RM43.89 juta dalam tempoh enam bulan

Briged Tengah PGA merampas pelbagai jenis rokok dalam serbuan di Kajang, tahun ini.
Gambar kecil: Muhammad Abdul Halim
Briged Tengah PGA merampas pelbagai jenis rokok dalam serbuan di Kajang, tahun ini. Gambar kecil: Muhammad Abdul Halim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melaksanakan 111 serbuan dan 649 tangkapan membabitkan rampasan bernilai RM43.89 juta bagi tempoh enam bulan tahun ini.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 125 adalah warga tempatan terdiri daripada 122 lelaki dan tiga wanita manakala 521 adalah warga asing terdiri daripada 323 lelaki, 188 wanita serta 10 kanak-kanak.

Menurut beliau, warga asing yang ditahan membabitkan Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka.

"Pecahan nilai rampasan melibatkan kenderaan berjumlah RM4.6 juta, rokok seludup (RM10.4 juta), arak seludup dan ketum (RM20.6 juta), dadah (RM201,135.50), hidupan dan tumbuhan dilindungi (RM40,000).

"Bahan letupan (RM1.4 juta), padi dan beras (RM2.6 juta), logam dan tembaga (RM3.1 juta), wang tunai dan lain-lain (RM594,533.40)," katanya pada sidang akhbar di Briged Tengah PGA Cheras, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran dan akta berkaitan yang lain.

Mengulas lanjut, siasatan mendapati tangkapan warga tempatan itu berperanan sebagai transporter serta tekong darat.

"Mereka ini dipercayai menerima bayaran minumum RM400 bagi setiap trip dengan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya sindiket sering mengubah modus operandi terutamanya bagi membawa PATI. Kita dapati PATI diuruskan oleh dalang di negara jiran dan menggunakan rangkaian di Malaysia bagi mengatur perjalanan, tempat selain pantau keadaan kawalan sekeliling," katanya.

Muhammad turut mengakui bahawa Klang antara lokasi hotspot pendaratan PATI disebabkan beberapa faktor seperti terdapatnya rumah apungan dan panduan masuk seperti rumah api yang memudahkan pendaratan mereka.

Justeru, pihaknya akan terus mengesan dan mencari mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini agar dapat dibanteras bagi memastikan keselamatan negara terjamin.

"Saya akan pastikan anggota di lapangan menjalankan tugas dengan baik agar keselamatan sempadan dan kesihatan warga kita terjamin daripada ancaman wabak Covid-19 khususnya," katanya.