Sindiket seludup ecstasy ke negara jiran tumpas

Kok Chin (dua dari kanan) menunjukkan suspek dan barang rampasan dalam operasi berkenaan.
Kok Chin (dua dari kanan) menunjukkan suspek dan barang rampasan dalam operasi berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran dengan penahanan tiga lelaki dan merampas ecstasy bernilai RM856,800 dalam operasi khas di Kota Tinggi pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, seorang lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia bertaraf penduduk tetap (PR) berusia 24 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi pada jam 11 pagi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Tinggi.

Menurutnya, kedua-dua lelaki PR itu merupakan transporter yang dibayar upah untuk menghantar dadah kepada lelaki tempatan terbabit di sebuah rumah tumpangan di Sungai Rengit, Pengerang.

"Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah tumpangan itu sebagai transit sebelum dadah itu diseludup dan dihantar ke negara jiran melalui jalan laut.

"Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak Februari lalu dengan bekalan dari negeri ini sebelum dihantar ke negara jiran. Kita percaya sebahagian kecil bekalan ini adalah untuk pasaran tempatan.

"Risikan telah dibuat sejak beberapa bulan lalu dan usaha memburu dalang serta saki baki yang terlibat dalam kegiatan ini sedang giat dijalankan," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Khamis.

Wang tunai dan pil ecstasy yang dirampas dalam operasi khas itu.
Wang tunai dan pil ecstasy yang dirampas dalam operasi khas itu.

Jelas beliau, dengan tertangkapnya sindiket pengedaran dadah itu, polis telah berjaya merampas 47,600 biji pil ecstasy yang bernilai RM856,800.

Artikel Berkaitan:

Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Hilux bernilai RM40,000 dan wang tunai berjumlah RM1,300.

"Kesemua suspek telah direman selama lima hari bermula 28 Jun hingga 2 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan," ujarnya.