Maritim Kuala Kedah rampas 225 set bubu naga

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 225 set bubu kambang atau bubu naga dalam Op Aman yang dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan menerusi pemantauan itu melibatkan kawasan perairan Kuala Kedah dan Yan.

"Hasil pemantauan selama sebulan di kawasan perairan ini mendapati berlaku peningkatan penggunaan bubu naga ini. Penggunaan bubu naga ini memerlukan modal yang sedikit dan mampu meraih keuntungan yang banyak sebab itu ramai yang menggunakan bubu ini.

"Tetapi, bubu naga ini boleh mengancam dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional dan persisir pantai," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, sepanjang operasi pemantauan dilakukan, beberapa lokasi baharu telah dikenal pasti melalui penemuan pancang penanda yang dipasang pada bubu naga yang berukuran 10 meter panjang di lokasi berbeza sepanjang perairan itu.

"Kesemua bubu yang dianggarkan bernilai RM25,000 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Nelayan diingatkan supaya tidak melanggar syarat lesen perikanan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: