Pemuda UMNO, Pas beri amaran

Asyraf Wajdi - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Asyraf Wajdi - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) dan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memberikan amaran supaya tindakan diambil individu yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan segera atau berdepan dengan perhimpunan aman secara besar-besaran di seluruh negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya mendesak supaya Peguam Negara, Tommy Thomas untuk mendakwa individu yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dengan segera.

"Pemuda UMNO dan Pemuda PAS tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan aman di Kuala Lumpur dan seluruh negara bagi menzahirkan ketidak-puasan hati sekiranya wujud sikap pilih kasih dan tindakan sambil lewa terhadap penjenayah yang menghina Islam.

"Kami mendesak agar Peguam Negara menyegerakan pertuduhan terhadap pelaku di mahkamah dan mendakwa beliau di bawah Kanun Keseksaan bagi memberikan isyarat tegas bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu yang tidak boleh dikompromikan.

"Individu terbabit perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti ini tidak berulang," katanya menerusi kenyataan bersama dengan Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pada 22 Februari lalu, individu yang mengeluarkan status penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akaun Facebook dengan menggunakan nama Foo Sing Wai dibebaskan atas jaminan polis.

Warga emas berusia 68 tahun itu ditahan pada 19 Februari lalu di rumahnya di Mentakab, Pahang, sebelum direman tiga hari bagi membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, melalui Facebook.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Setakat ini, lebih 390 laporan diterima polis di seluruh negara daripada pelbagai pihak berikutan status penghinaan tersebut.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, perbuatan individu tersebut bukan sahaja telah mengguris perasaan bahkan menyemarakkan kemarahan umat Islam di negara ini dan dianggap suatu yang amat serius serta tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.

"Pemuda UMNO dan PAS juga meminta Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memaklumkan status terkini siasatan kepada rakyat terutama umat Islam yang amat marah dan beremosi dengan isu ini," katanya.