Kami dah lama tak bergaji - Pemandu bas ekspres

Ali Akbar menyampaikan sumbangan kepada pemandu bas ekspres yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ali Akbar menyampaikan sumbangan kepada pemandu bas ekspres yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Rindu suasana merentas dari satu negeri ke negeri lain, namun situasi itu sudah berubah sejak berdepan pandemik Covid-19.

Itu antara reaksi pemandu bas ekspres di Terminal Sentral Kuantan yang kini hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka mengakui wabak Covid-19 mengubah kehidupan secara total dan terpaksa berjimat cermat dengan wang simpanan yang ada, selain mengambil upah bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Bagi Mohd Rusdan Hussin, 37, berkata, sejak operasi perkhidmatan bas ditutup hampir 85 peratus punca pendapatan hilang.

Katanya, kini hampir dua bulan tidak bergaji dan terpaksa mengharapkan bantuan daripada pelbagai pihak untuk terus hidup.

"Kerja sebagai pemandu bas ini, bila bas jalan baru ada gaji. Sekarang ini gaji pun tiada, Bila tiada gaji macam mana hendak bayar bil utiliti seperti telefon, air, elektrik dan sewa rumah.

"Musim PKP ini lagi la hendak buat kerja sampingan pun tidak dapat kerana banyak sektor ekonomi ditutup. Jadi mahu tidak mahu kami kena hadapi situasi ini," katanya ketika ditemui di Bandaraya Kuantan pada Khamis.

Sebelum itu, Makmur Relief menyalurkan sumbangan kepada 38 pemandu bas ekspres yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pemandu bas, Isa Daud, 65, berkata, kebanyakan pemandu bas terpaksa mencari kerja sampingan bagi meneruskan kehidupan.

"Ada dalam kalangan mereka (pemandu) terpaksa membawa lori, mengambil upah cat rumah, upah angkat buah bagi meneruskan kehidupan.

"Mereka yang muda boleh buat macam-macam kerja tetapi orang berumur macam saya ini dah berumur terpaksa duduk di rumah kerana kudrat terhad," katanya.

Dia berharap agar kerajaan mengambil perhatian kepada pemandu-pemandu bas Ekspres di musim Covid-19 ini.

"Kami semua mengalu-alukan daripada mana-mana pihak kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) supaya dapat membantu kami.

"Ini kerana pendapatan kami bergantung kepada perjalanan trip. Ada trip ada lah duit, gaji pokok itu ada tapi bila sudah tidak beroperasi gaji pokok pun tak banyak mana dapat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Makmur Relief, Ali Akbar Othman berkata, pihakanya sentiasa mendekati kumpulan sasar yang terkesan ketika PKP seperti pemandu bas ekspres, pelayan restoran, pekerja am serta wartawan bebas yang kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan.

"Pada hari ini (Khamis), kita telah agihkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka. Kita tahu ada dalam kalangan pemandu-pemandu ini terpaksa berikhtiar mencari pendapatan lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau kepada mereka yang sudi menyalurkan sumbangan bagi membantu mereka memerlukan.