X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Integriti yang semakin dilupai

A
A
SUDAH agak lama saya tidak menulis mengenai integriti. Sedih apabila mendapat berita pagi tadi bahawa integriti telah mati.

Berita tersebut dibawa semasa perbincangan webinar mengenai keperluan kepada undang-undang untuk mengawal selia dana politik dalam negara.

Salah seorang ahli panel mengatakan bahawa tahap korupsi dalam negara sekarang sudah berada ditakuk yang tidak dapat diperbaiki lagi. Integriti seperti sudah mati. Saya termenung sejenak.

Walaupun kebetulan saya berpakaian serba hitam dan sesuai untuk berkabung atas berita kematian integriti ini, tetapi saya merasa sangat sedih atas berita ini kerana setelah berpuluh tahun pelbagai pihak dan agensi menjalankan pelbagai inisiatif dan setelah beratus juta dibelanjakan, kita seolah-olah seperti mencurah air ke daun keladi.

Apa sebenarnya yang telah berlaku menyebabkan seorang ahli panel yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini memberi tanggapan begitu sekali.

Apakah indikator yang beliau sandarkan untuk membuat kenyataan ini?

Saya cuba untuk menyelami hati sahabat saya ini dan memperhalusi persekitaran dan melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling kita dalam negara pada waktu ini.

Walaupun saya agak lebih optimistik daripada beliau, tetapi saya harus bersetuju dengan kenyataan beliau itu.

Pada saya kalau rakyat memilih untuk tidak berbuat sesuatu yang positif dan menuntut agar orang-orang yang diberi tanggungjawab melaksanakan tugas mereka dengan penuh integriti, maka sudah pasti integriti akan dikuburi.

Yang merisaukan saya adalah apabila melihat orang-orang yang sepatutnya menjadi pelopor kepada hal-hal yang berkaitan dengan integriti ini turut sama melanggar tata-kelola yang hakiki.

Tidak kira sama ada perkara ini berlaku dalam jabatan, di sekolah mahupun di Universiti.

Tidak kira juga sama ada perkara itu dianggap sebagai perkara kecil sahaja.

Pada hari ini kita dapat melihat pelbagai salah laku yang secara terang-terangan membelakangkan tadbir urus dan integriti.

Sedih sekali melihat perlakuan-perlakuan yang menunjukkan bagaimana rata-rata mereka ini tidak merasa malu langsung.

Pelbagai kes yang boleh kita kemukakan daripada sekecil mengambil hasil kerja dan tulisan orang lain sambil dengan bangga memperagakan sebagai hasil kerja mereka dan tanpa segan silu pula meletakkan nama mereka pada hasil tulisan orang lain umpamanya sehinggalah kepada perkara-perkara memeras-ugut menggunakan kedudukan untuk mendapat habuan.

Apabila saya meneliti laporan Ketua Audit Negara yang terkini pula, saya masih dapat melihat bagaimana beberapa perkara yang diamanahkan masih belum dapat menyumbang secara signifikan kepada matlamat yang diharapkan.

Ini sudah pasti berlaku kerana ada orang yang tidak amanah dan mementingkan diri mereka melebihi daripada hasrat negara untuk membantu rakyat jelata.

Kalau mereka sedar dan bertindak dengan integriti, saya pasti mereka akan berusaha sedaya mungkin untuk melaksanakan tugas sebaik yang mereka boleh lakukan bertujuan untuk membantu rakyat yang ingin dibantu dan mencapai matlamat yang diharapkan.

Atas pelbagai perlakuan yang agak blatant dan membelakangi undang-undang sehinggakan membuat rakyat menjadi sangat skeptikal sehinggakan kalau ada yang berniat baik pun akan dibaca sebagai mempunyai udang di sebalik batu.

Ini belum lagi mengambil kira kes-kes yang telah dihadapkan ke mahkamah atau yang telah disabit kesalahan mereka daripada hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kalaulah benar integriti makin dilupai, kita semua bertanggungjawab untuk memperbaiki keadaan ini.

Perkataan integriti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita yang kelima, Tun Abdullah Badawi telah memberi harapan baru kepada Malaysia sejak November 2003.

Ketika menyampaikan ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 3 November 2003, Tun Abdullah mengingatkan betapa tanggungjawab bagi seseorang pemegang jawatan itu akan dinilai oleh rakyat jelata dan lebih dari itu oleh ALLAH SWT.

Kata beliau “Bahawa jawatan dan kuasa adalah satu ujian daripada ALLAH SWT. Jika tanggungjawab ini dapat disempurnakan secara amanah, jujur, cekap dan adil, akan berjayalah seseorang hamba dalam menghadapi ujian Ilahi, di sebaliknya kegagalan memenuhinya akan menjadi satu tanggungan berat untuk dihadapi baik di dunia mahupun di akhirat.”

Bersamalah kita memberi makna dan menghidupkan kembali integriti di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Kepada semua yang diberi amanah dan tanggungjawab, laksanakanlah amanah ini seperti yang diperingatkan oleh bekas Perdana Menteri kita. Semoga integriti di Malaysia terus berkembang.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia danTimbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!