Bendera putih, simbol penyatuan?

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

APAKAH kini kita berada di persimpangan hidup dan mati? Kempen menaikkan bendera putih sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan memapar kegelisahan dan keresahan rakyat secara umumnya. Konstruk sosial semakin hari semakin terancam.

Rakyat yang dulunya masih mampu membolosi pintu ekonomi dan kesihatan kini sebahagiannya merana dan berada dalam kesempitan hidup.

Rakyat yang dulunya ‘kais pagi makan pagi; kais petang makan petang’, kini kehilangan solusi. Kebergantungan kepada sistem sokongan ‘rakyat’ tidak dapat dielak kerana amat memerlukannya.

Naratif ‘Bendera Putih’ amat signifikan. Ia menunjukkan status kedudukan sebilangan rakyat yang daif dan kehidupan tergantung selepas kehilangan sumber pendapatan dan mata pencarian masing-masing.

Ada keluarga yang tidak sanggup melihat tangisan anak mereka. Ada keluarga yang memberontak. Struktur kekeluargaan dahulunya diserikan dengan kasih sayang dan harmoni kini melihat bibit-bibit kehancuran bilamana ia retak begitu sahaja. Puncanya? Salah siapa? Tanggungjawab siapa?

Bendera putih bukan satu-satunya pilihan tetapi ia menjadi tumpuan bila kita berada dalam kegelapan kehidupan. Ia tidak bermakna kita tewas dalam peperangan mencari sinar kehidupan tetapi ia juga kekuatan untuk berhadapan dengan masalah yang melanda rutin seharian.

Cernalah maknanya dan berlapang dadalah, jangan dibaca dari kaca mata politik kepartian dan ketepikanlah kepentingan.

Ini tidak termasuk keperluan anak-anak untuk belajar; kemahuan kendiri dan kesejahteraan keluarga. Maruah barangkali akan dipersoal tetapi lebih dari itu adalah kesanggupan untuk mengenepikan segalanya untuk menzahirkan cahaya kehidupan untuk mereka yang ada di sekeliling kita.

Artikel Berkaitan:

Makanan, pakaian dan kediaman merupakan tiga perkara asas yang diperlukan. Kesan pandemik Covid-19 amat besar. Bantuan kerajaan dilihat tidak sampai. Jika benar, mengapa ia berlaku? Adakah faktor ketirisan sistem penyampaian?

Tertekan mental, kematian membunuh diri juga meningkat, tanpa dilihat kes kemurungan dan tekanan psikologi.

Perangkap kehidupan menyebabkan ada yang putus asa, Bendera putih menjadi simbol penyatuan berkiblatkan kepada ‘solidariti’ dan nilai ‘keinsanan’ serta ‘kemanusiaan’ demi kelangsungan kehidupan. Ini juga menguji sejauh manakah nilai masyarakat subur ketika berada dalam krisis.

Kempen ini boleh dianggap proses pengislahan masyarakat supaya rakyat nikmati sesuatu yang baik dalam kesusahan yang menimpa mereka. Juga sebagai wadah komunikasi berkesan tanpa perlu artikulasi.

Putus makanan, putuslah kehidupan. Putus kehidupan, putus juga harapan. Ada dalam kalangan kita redha dan berserah kepada lindungannya.

Ruang dan simbolik mudah ini boleh diterjemahkan kepada strategi navigasi “setempat dan segera” kepada kelompok teruji yang terus berjuang demi kelangsungan hidup. Bersangka baiklah, kerana penderitaan masyarakat tanggungjawab semua.

Ambil serius

Hatta, yang boleh menghulur dan membantu, boleh menggunakan peluang ini untuk memastikan tidak ada yang kebuluran atau memastikan sentiasa mempunyai simpanan keperluan harian.

Mesej ini perlu diambil serius oleh pihak berwajib kerana ia juga menunjukkan kepincangan dalam saluran bantuan yang cuba disampaikan kepada pelbagai kumpulan sasar masyarakat.

Ia bukan mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi cuba melengkapi apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat secara total. Ini adalah pembuktian utuh yang tidak lunturnya hubungan kemanusiaan dan nilai cakna dalam memenuhi banyak keperluan interaksi sosial kita.

Semangat kejiranan akan teruji. Nilai setiakawan juga berada di persimpangan. Apakah kita bahagia bila kenyang perut tetapi jiran sebelah rumah kelaparan?

Ini adalah alat komunikasi atau platform untuk merapatkan barisan dan bersama menggembleng tenaga membantu. Peduli kepada komuniti ada berkatnya. Kembangkan sayap bantuan dan pertolongan. Naluri, hati dan emosi manusia berbeza tetapi kita harus bersama berhadapan dengan kemelut yang tidak ada penghujungnya.

Persimpangan yang dicari adalah pengertian ke atas kehidupan yang saban hari melarat dan sukar kepada kebahagiaan yang pernah dinikmati satu ketika dulu.

Mungkin dunia memerlukan masa untuk mengingati bagaimana menghargai apa yang ada, tetapi lupa untuk mengalaminya. Begitu juga kita.

* Profesor Madya Dr Noor Haida Mohd Kaus, dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia dan Profesor Dr Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia