X

Kindly register in order to view this article
!

Bila wartawan dipersalahkan...

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

SEPANJANG kerjaya saya sebagai wartawan dan penulis, saya sering kali berhadapan dengan fenomena di mana wartawan dipersalahkan apabila laporan itu didapati telah mencetuskan kontroversi dan menjadi kritikan ramai.

Yang menyedihkan, satu berita yang mungkin tidak disukainya dijaja satu dunia sebagai salah lapor atau diputarbelitkan tetapi 100 berita baik yang pernah dijadikan laporan muka hadapan dan muka utama akhbar, langsung tidak pernah disebut.

Ironinya, apabila nak buat kenyataan, mereka pandai pula cari wartawan. Tetapi bila dikecam, atau kenyataan yang mereka buat itu mendapat reaksi negatif masyarakat, tiba-tiba itu bukan salah mereka tapi salah wartawan.

Wartawanlah yang dituduh salah lapor dan salah tafsir kata-katanya.

Dalam satu kes paling klasik yang diadukan kepada penulis ialah, “Saya hanya berseloroh dan sembang-sembang kosong saja tapi ditulisnya apa yang saya cakap itu.”

Kelakar sungguh alasan yang diberikannya kerana dia bercakap dengan wartawan bukan pegawai bank atau orang di pasar malam.

Sudah tentu wartawan itu berbual dengannya adalah dengan tujuan untuk menulis komen atau analisis atau melaporkan berita. Mana ada wartawan menelefon untuk sembang kosong.

Hakikatnya, yang bercakap demikian ialah seorang ahli politik veteran yang komen dan petikan kata-katanya sering kali dijadikan bahan ulasan para wartawan dalam kolum mingguan mereka.

Dia tahu apa yang dia patut kata jika dia tidak mahu apa yang dibualkan itu dilaporkan. Tapi dia tak cakap, “Apa yang saya cakap ini jangan tulis ya, untuk pengetahuan saudara saja.”

Apabila komentar mengenai dirinya menjadi viral dan dia menjadi kritikan ramai, dia dengan pantas menyalahkan wartawan yang melaporkan apa yang dia cakap.

Senang-senang wartawan dituduh membelitkan atau sengaja nak spin kenyataannya. “Saya tak pernah kata gitu, tapi wartawan yang tulis!”, sedangkan apa yang dia cakap sebelum itu direkodkan. Itulah, masa bercakap tak beringat. Lepas jadi panas, cari jalan salahkan wartawan.

Wartawan juga sering dituduh mempunyai agenda. Walhal kenyataan yang disiarkan itu keluar daripada mulut beliau sendiri. Aneh bukan? Tapi itulah realiti.

Wartawan sering menjadi kambing hitam kerana ia jalan mudah dan pintas untuk melepaskan diri. Biasanya tuduhan itu hanya di belakang. Saman? Tak berani sebab wartawan merakamkan setiap perbualan.

Tapi andai kata benar wartawan salah lapor, bagi tahu wartawan tersebut. Biasanya wartawan atau media akan membuat pernyataan ralat pada keesokan harinya. Kalau nak cepat, boleh betulkan berita yang disiarkan dalam talian. Sebab wartawan pun bukan manusia sempurna.

Sekali lagi, perlu dinyatakan di sini wartawan sifatnya memburu berita. Kalau mereka tiba-tiba telefon atau memberi pesanan melalui WhatsApp, maknanya mereka sedang mencari berita.

Mereka bukan nak sembang-sembang kosong. Mereka tak ada masa untuk itu semua sebab mereka mengejar masa yang wajib dipatuhi.

Jadi kalau tak mahu perbualan disiarkan, sebut saja, “Jangan tulis apa yang saya cakap ini.” Ini juga termasuk dalam etika kewartawanan iaitu wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta melaporkan berita palsu.

Wartawan yang mendokong etika dan prinsip juga tidak berniat untuk memfitnah mana-mana pihak, kerana jawatan ini juga satu amanah.

Suka atau tidak, memang itulah kerja wartawan. Mereka sentiasa mengejar berita tidak kira siang dan malam. Mereka tidak ada agenda besar macam dalam politik.

Jika ada wartawan yang boleh dibeli, jangan bimbang, biasanya tidak akan bertahan lama dalam bidangnya kerana tidak mempunyai jati diri wartawan yang sebenar.

Wartawan juga membantu dalam penulisan mereka membongkar penderitaan atau kesusahan hidup yang dialami oleh individu atau masyarakat.

Malah wartawan juga sering menjadi perantara antara rakyat dan kerajaan dan kerajaan dengan rakyat seperti isu harga minyak masak, kartel daging lembu dan sebagainya. Jika ia tidak didedahkan oleh wartawan, siapa lagi?

Bukankah ini kerja-kerja yang baik dan mulia? Melaporkan ketidakadilan dan penyelewengan, rasuah dan ketirisan.

Jadi, kerjaya wartawan sebenarnya sangat mulia. Profesion wartawan merupakan tugas yang murni kerana tanggungjawabnya menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Selebihnya, biarlah ALLAH SWT yang menilai.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!