X

Kindly register in order to view this article
!

Bukalah Parlimen semasa darurat

A
A

AKHIRNYA Parlimen kita akan dibuka semula dengan segera selepas ditutup jauh lebih lama daripada mana-mana perkhidmatan tidak perlu di bawah PKP.

Moga-moga segera ini maksudnya selewat-lewat 1 Ogos iaitu hari terakhir darurat berkuat kuasa. Kalau tidak, Parlimen mungkin terbubar secara langsung pada 2 Ogos dan pilihan raya kilat terpaksa diadakan selewat-lewatnya pada 2 Oktober.

Mengapa Parlimen atau DUN-DUN akan terbubar sendiri jika enam bulan tidak bersidang? Ini adalah untuk memastikan kerajaan sentiasa ‘menjawab’ kepada Parlimen.

Dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat tidak memilih kerajaan secara langsung tetapi memilih ahli Parlimen, yang memilih Perdana Menteri dengan menaruhkan keyakinan kepada beliau dan Perdana Menteri memilih antara rakan-rakannya di Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Maka, jika kerajaan ingin mengabaikan Parlimen seolah-olah kacang lupakan kulit, maka Parlimen akan terbubar supaya kerajaan terpaksa menghadapi pilihan raya.

Sungguhpun Perkara 55(1) mengungkapkannya sebagai satu kewajipan Yang di-Pertuan Agong sebagai raja berperlembagaan untuk memanggil Parlimen dari masa ke masa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya tanpa menyebutkan pembubaran sebagai akibat ketidakpatuhan, akibat kegagalan akan membawa kepada pilihan raya baru memang tidak dipertikaikan.

Mungkin ada yang bertanya, tidakkah Seksyen 14(1) dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 telah menghentikan jam Parlimen?

Hari terakhir sidang Parlimen, Dewan Negara dalam kes ini ialah 29 Disember 2021. Maka, tarikh genap enam bulan ialah 29 Jun (Selasa yang baru lepas). Maka, memang pembubaran Parlimen tidak dapat berlaku kerana jam Parlimen telah berhenti.

Akan tetapi, jika darurat tidak disambung selepas 1 Ogos, maka sebaik saja jarum jam di rumah melepasi 12 tengah malam, jam Parlimen akan bergerak lagi dan Parlimen akan ditimpa akibat kegagalan bersidang dalam enam bulan pembubaran.

Sebenarnya semua Dewan Undangan Negeri mengakhiri sidang terakhir mereka lebih awal daripada Parlimen. Yang paling awal ialah Pulau Pinang pada 19 Oktober 2020. Yang paling lewat ialah Sabah pada 23 Disember 2020.

Ini bermakna tempoh pembubaran kerana tidak bersidang selama 6 bulan telahpun sampai di DUN-DUN bermula 19 April sehingga 23 Jun. Mereka tidak terbubar semata-mata kerana jam Dewan telah dihentikan oleh darurat.

Sebaik saja jam Dewan berjalan semula pada 2 Ogos, semua DUN akan turut dibubarkan jika tidak bersidang selewat-lewatnya pada 1 Ogos, sekalipun untuk satu mesyuarat khas untuk beberapa jam saja. Hanya Melaka yang merancang sidang untuk pertengahan Julai.

Sudah tentu rakyat tidak ingin melihat pilihan raya dan kempen berlaku semasa negara masih menghadapi wabak Covid-19 yang semakin mengganas.

Pilihan raya bukan sekadar akan menggagalkan penjarakan sosial dengan kempen dan pengundian, malah ia akan menarik perhatian menteri-menteri malah mungkin pegawai tinggi kerajaan daripada menumpukan perhatian pada wabak, ekonomi dan tanggungjawab masing-masing.

Maka, semoga pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri diberikan kebijaksanaan dan keberanian untuk membuka semula Dewan semasa darurat masih berlangsung iaitu selewat-lewatnya pada 1 Ogos kalau tidak sebelumnya.

*Prof Wong Chin Huat ([email protected]) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!