Belanja pelancongan domestik merosot 60.8 peratus

Ketibaan pelawat domestik merosot sebanyak 44.9 peratus dengan merekodkan 131.7 juta pelawat berbanding 239.1 juta pelawat pada 2019.
Ketibaan pelawat domestik merosot sebanyak 44.9 peratus dengan merekodkan 131.7 juta pelawat berbanding 239.1 juta pelawat pada 2019.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Perbelanjaan pelancongan domestik Malaysia pada 2020 merosot sebanyak 60.8 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, negara hanya merekodkan sebanyak RM40.4 bilion berbanding RM103.2 bilion pada 2019.

Menurutnya, kemerosotan tersebut merupakan yang pertama sejak 2008 selepas Jabatan Perangkaan Malaysia menyusun statistik Survei Pelancongan Domestik.

“Langkah melaksanakan sekatan pergerakan akibat Covid-19 telah menjejaskan aktiviti pelancongan domestik di Malaysia pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia telah menerbitkan Laporan Survei Pelancongan Domestik 2020.

Ia merangkumi statistik berkaitan ketibaan pelawat, perbelanjaan pelancongan, trend perjalanan dan profil sosial serta demografi pelawat domestik.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Mohd Uzir berkata, ketibaan pelawat domestik merosot sebanyak 44.9 peratus dengan merekodkan 131.7 juta pelawat berbanding 239.1 juta pelawat pada 2019.

Dari segi volum perjalan pula, beliau berkata, pelawat domestik telah melakukan 147.0 juta perjalanan di dalam negara, menurun 55.8 peratus berbanding 2019.

Kesan daripada kemerosotan berkenaan menyebabkan penurunan 60.8 peratus dalam jumlah perbelanjaan dengan mencatatkan RM40.4 bilion berbanding RM103.2 bilion pada tahun sebelumnya, tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Uzir berkata, pada 2020 membeli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi hasil daripada keseluruhan perbelanjaan yang dibuat oleh pelawat domestik untuk perjalanannya dengan sumbangan sebanyak 52.6 peratus, diikuti makanan dan minuman (18.6 peratus) dan bahan api (9.0 peratus).

“Ini adalah kali pertama perbelanjaan bagi makanan dan minuman mendahului perbelanjaan bahan api kenderaan.

Sementara itu, beliau berkata, peratus sumbangan perjalanan untuk tujuan membeli-belah merekodkan 42.3 peratus mengatasi sumbangan perjalanan untuk melawat saudara-mara dan rakan sebanyak 32 peratus buat kali pertama sejak 2008.

“Ini diikuti oleh sumbangan bagi percutian/mengisi masa lapang/berehat sebanyak 16.9 peratus,” tambahnya.

Menurut Dr Mohd Uzir, Selangor adalah negeri yang paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik pada 2020 iaitu 19.7 juta pelawat.

Ia diikuti oleh Perak (13.2 juta), Kuala Lumpur (12.4 juta), Sabah (10.3 juta) dan Kedah (10.1 juta), katanya.