'Atlet pelayaran mampu tampil aksi membanggakan'

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin, atlet pelayaran negara mampu menyajikan prestasi membanggakan pada Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.

Reezal Merican berkata, beliau amat mengagumi semangat juang dimiliki empat wakil negara dalam acara pelayaran bagi menghadapi temasya sukan itu, walaupun terpaksa menjalani persiapan dalam situasi penuh mencabar tatkala dunia masih dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.

“Saya boleh bayangkan kepanasan, peluh dan juga air mata yang mengalir untuk sampai ke tahap Olimpik ini. Tahniah dan tabik daripada saya kepada mereka.

“Saya amat gembira melihat semangat dan komitmen atlet pelayaran kita, berada pada tahap terbaik ketika ini. Apa yang penting buat mereka ketika ini adalah sentiasa positif dan akan berjuang demi Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Reezal Merican berkata demikian selepas mengadakan tinjauan persediaan dan persiapan serta berinteraksi bersama atlet pelayaran yang akan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo secara maya pada Rabu.

Beliau pada masa sama memaklumkan, atlet pelayaran negara merupakan skuad pertama Malaysia yang turun beraksi di temasya Olimpik kali ini pada 25 Julai di Enoshima Yacht Harbour.

Reezal Merican juga sempat menitipkan pesanan kepada atlet pelayaran berkenaan agar menjaga kesihatan diri dengan baik, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sama ada di sini ataupun di Jepun nanti agar mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.

Skuad pelayaran negara kini sedang menjalani latihan pusat di Kompleks Pelayaran Langkawi, sebelum mula menjalani kuarantin di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan di sini pada 4 Julai dan dijadual berlepas ke Tokyo pada 8 Julai.

Artikel Berkaitan:

Empat atlet pelayaran negara layak ke Tokyo terdiri daripada Khairulnizam Mohd Afendy yang akan menyertai acara laser standard, Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), manakala Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali, akan bertanding bagi acara International 470 wanita.

Sukan Olimpik Tokyo merupakan penyertaan kali ketujuh kontinjen pelayaran negara dan Dr Kevin Lim muncul atlet pertama menyertainya menerusi acara laser standard pada edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat. - Bernama