Wanita tabah suami meninggal dunia selepas lahirkan anak ke-7

A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Pemergian suami yang meninggal dunia sehari sebelum melahirkan anak ketujuh memberi tamparan hebat kepada seorang wanita yang kini berseorangan membesarkan semua anaknya.

Siti Azimah Tajudin, 31, yang berasal dari Bachok, Kelantan tidak menduga ujian berat itu hadir dalam kehidupannya sedangkan ahli keluarga mereka baharu sahaja menerima 'orang baharu' yang dilahirkan pada 19 Jun lalu serta diberi nama Siti Nur Aisyatul Humaira Shahrol Amri, 11 hari.

Kata wanita itu, kini dia berpindah ke Melaka untuk menetap bersama abang sulungnya, Azli Tajudin, 35, bagi memulakan kehidupan baharu tanpa arwah suaminya, Shahrol Amri Sanusi, 31, yang pergi buat selama-lamanya akibat serangan jantung.

"Rumah lama di Kampung Sungai Ramal, Kajang Selangor meninggalkan banyak kenangan bersama arwah tetapi saya terpaksa berpindah.

"Biarpun berat untuk membuat keputusan, namun yakin ada hikmah di sebalik perancangan ALLAH SWT.

Saya harap penghijrahan ini memberikan kekuatan kepada saya supaya dapat membesarkan anak-anak yang sedang memerlukan perhatian.

"Sedih tetap sedih namun anak-anak menjadi kekuatan saya sekarang ini.

Apabila menetap dengan abang, saya harap dapat mengurangkan kesedihan serta memudahkan saya menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan anak sambil menguruskan anak-anak yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun terpaksa meninggalkan rumah yang banyak kenangan kami sekeluarga, namun demi kebaikan kami berpindah ke sini.

Kini barang-barang peninggalan arwah suami seperti jam, pakaian dan kain pelekat menjadi pengubat kerinduan kami pada arwah," katanya ketika ditemui di Taman Bukit Rambai Indah di sini, pada Rabu.

Sebelum itu, Siti Azimah menerima kehadiran Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Latipah Omar dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md Rawi Mahmud.

Luah wanita itu lagi, dalam mencari kekuatan untuk bangkit dari kesedihan, dia mengakui hatinya sebak dan tersentuh mengenangkan dua anaknya Siti Nur Airis Shahrol Amri, 3, dan Muhammad Hamzah Ramadan Shahrol Amri yang baru berusia setahun.

"Mereka asyik bertanyakan mengenai 'abah' mereka.

Malam semalam, Siti Nur Airis minta saya buka pintu dapur dan beritahu 'abah' balik.

"Saya tahu anak-anak saya rindukan abah mereka," katanya yang bernikah dengan arwah Shahrol Amri pada Februari 2009.

Katanya, walaupun bukan mudah untuk menerima hakikat itu, namun sebagai ibu dia harus cekal dan terus memberi semangat kepada anak-anak yang masing-masing berusia 12 tahun diikuti 10, 8, 5, 3, setahun dan 11 hari selain berharap mereka dapat menyesuaikan diri di tempat baharu termasuk memastikan mereka mendapatkan pendidikan.

Ujarnya, kehidupannya kini sedikit susah selepas kehilangan ketua keluarga yang selama ini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Saya tidak akan berpisah dengan anak-anak walaupun ada orang yang datang dan berhasrat mengambil mereka sebagai anak angkat.

"Walaupun susah tapi janganlah pisahkan saya dengan anak-anak dan saya akan tetap menjaga mereka dengan kasih sayang seperti arwah suami sayangkan kami," katanya.

Sementara itu, Latipah berkata, selain itu MAIM akan menghulurkan bantuan bulanan termasuk mempertimbangkan bayaran sewa rumah sehingga RM450 sebulan memandangkan Azli akan menyara mereka sekeluarga dengan menjual keropok lekor.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga meluluskan Bantuan Bulanan Kanak-kanak (BKK) kepada setiap anak bagi meringankan beban keluarga itu. "Kita berharap Siti Azimah terus tabah dan JKM akan memantau keluarga ini dari masa ke semasa.

"Pada masa sama mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) syarikat korporat untuk menghulurkan sumbangan seperti susu dan lampin pakai buang," katanya. Tular di Facebook mengenai Siti Azimah yang kehilangan suami selepas melahirkan anak.