X

Kindly register in order to view this article
!

Isu sijil: Najib sindir Mahfuz

najib
A
A

ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir Datuk Mahfuz Omar selepas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu membuat kenyataan berhubung keperluan pekerja teknikal memiliki sijil kemahiran diiktiraf dalam negara.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook beliau lewat petang kelmarin, Najib secara sinis bertanya kepada Mahfuz mengenai kelayakan menjadi seorang menteri bawah kerajaan PH.

“Kalau nak jadi Menteri, tak perlu kan. Ada printer cukup. Betul tak, Mahfuz?” kata Najib.

Beliau turut memuat naik paparan kenyataan Mahfuz kelmarin, berkaitan Kementerian Sumber Manusia sedang merangka pelan tindakan bagi mewajibkan pekerja dalam bidang teknikal memiliki sijil kemahiran yang diiktiraf.

Kata-kata Najib itu dipercayai merujuk kepada pendedahan baru-baru ini, mengaitkan sijil akademik palsu yang didakwa milik beberapa pemimpin PH.

Sebelum ini, kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui, disusuli beberapa pemimpin PH lain yang dikaitkan dengan isu sama.

Dalam pada itu, Mahfuz mengucapkan terima kasih atas perhatian diberikan Najib terhadapnya.

“Saya ucap terima kasih sebab bagi perhatian kepada saya, secara langsung beliau perakui kehebatan saya dalam bidang tugas di kementerian itu, seolah apa yang saya lakukan harus diberi tumpuan,” katanya.

Mahfuz berkata, walaupun tujuan asal Najib adalah untuk melemahkan kepimpinan beliau selaku timbalan menteri atau cuba memperlekeh pihak lain, namun ia tidak beri sebarang kesan negatif.

“Najib sedang belajar menjadi pembangkang, bermakna beliau sudah terima hakikat itu dan lakukan apa yang pembangkang buat sebelum ini,” katanya.

Mengulas kekerapan Najib turun padang dan berswafoto dengan rakyat, Mahfuz menyifatkan ia sekadar cubaan mengalih perhatian.

“Najib cuba alih perhatian daripada isu sebenar, di mana beliau terpalit dengan pelbagai kes di mahkamah. Selain cuba raih simpati dan sokongan, beliau perlekehkan orang lain untuk hilangkan tumpuan terhadap kes yang dikaitkan dengan beliau,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!