Makin ramai kanak-kanak temui orang asing dalam talian

Lebih separuh daripada individu berusia bawah 18 tahun yang menyertai kajian UNICEF memberitahu bahawa mereka menemui secara bersemuka dengan orang yang mereka kenali dalam talian. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Lebih separuh daripada individu berusia bawah 18 tahun yang menyertai kajian UNICEF memberitahu bahawa mereka menemui secara bersemuka dengan orang yang mereka kenali dalam talian. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih separuh daripada individu berusia bawah 18 tahun yang menyertai kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberitahu bahawa mereka menemui secara bersemuka dengan orang yang mereka kenali dalam talian.

Ketua Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia Sarah Norton-Staal berkata, kajian ‘Our Lives Online’ yang dijalankan di Malaysia, melibatkan 127 kanak-kanak, turut mendedahkan dua daripada lima kanak-kanak melalui pengalaman dalam talian yang mereka enggan ceritakan kepada sesiapa.

“Aktiviti ini membawa banyak risiko, antaranya (dapatan kajian) baik kanak-kanak lelaki mahupun perempuan dilapor menerima pesanan, gambar dan video berunsur seksual daripada individu tidak dikenali melalui media sosial.

“Ini adalah fakta membimbangkan yang perlu diketahui, anak-anak kita menghadapi risiko dan ancaman ini semasa dalam talian,” katanya pada Forum Keselamatan Siber ASEAN bersempena Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2021 secara maya hari ini.

Laporan itu merupakan kajian berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak di Asia Timur, menumpukan pada empat negara iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Penyelidikan itu menggabungkan pengalaman 301 kanak-kanak merentasi empat negara tersebut termasuk 121 kanak-kanak jalanan dan pelarian, yang dikumpulkan melalui satu siri perbincangan kumpulan fokus dan program penyertaan.

Katanya, UNICEF bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menyokong serta memperkasa ibu bapa dalam melindungi anak mereka daripada bahaya yang ada dalam talian.

“Ibu bapa wajar menimbang untuk mengehadkan masa anak mereka berada dalam talian, namun mereka boleh berhubung dengan anak mereka dalam talian sebagai satu pengalaman bersama.

Artikel Berkaitan:

“Mereka (ibu bapa) perlu memahami apa yang dilakukan oleh anak mereka semasa berada dalam talian, mungkin boleh sertai mereka. Paling penting ialah ibu bapa ambil tahu tentang kelakuan anak mereka semasa dalam talian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya agensi berkenaan bekerjasama seiring dengan UNICEF untuk membangunkan pelan tindak bagi melaksanakan Deklarasi ASEAN mengenai Perlindungan Kanak-Kanak daripada semua bentuk Penderaan dan Eksploitasi Dalam Talian di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, antara agensi tersebut ialah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan KPWKM.

CYDES 2021 bertemakan ‘Embedding Resilience Within Our Cyberspace dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan NACSA. -Bernama