Covid-19: Thailand catat angka kematian harian tertinggi

Thailand catat 53 kematian baharu akibat Covid-19 tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh sehari menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 2,023 sejak wabak itu melanda awal tahun lalu. - Foto Xinhua
Thailand catat 53 kematian baharu akibat Covid-19 tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh sehari menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 2,023 sejak wabak itu melanda awal tahun lalu. - Foto Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Thailand mencatatkan 53 kematian baharu akibat Covid-19 tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh sehari menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 2,023 sejak wabak itu melanda awal tahun lalu.

Dalam tempoh 24 jam, sebanyak 4,786 kes direkodkan menjadikan jumlah jangkitan mencecah 259,301 setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kematian baharu melibatkan 30 lelaki dan 23 wanita, berusia di antara 24 hingga 97 tahun termasuk 49 rakyat Thailand, dua warga Myanmar dan masing-masing seorang warga China dan Britain.

Daripada 4,786 kes baharu itu, 4,777 daripadanya melibatkan penularan tempatan dan 1,347 menerusi pengesanan kes aktif dan sembilan kes import. Jumlah tersebut turut merangkumi 127 banduan.

Beliau berkata, Bangkok terus mencatatkan peningkatan kes dalam tempoh 24 jam, dengan 1,826 kes baharu diikuti Samut Prakan (433), Samut Sakhon (253) dan Chon Buri (208).

"Sehingga kini, terdapat 108 kes aktif di Bangkok," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Rabu.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan membuka 10 'hospitel' baharu menjadikan hotel sebagai hospital sementara.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata, 'hospitel' baharu tersebut dilengkapi 4,424 katil, yang boleh menampung pesakit Covid-19 tanpa gejala serta mereka yang mengalami gejala ringan.

Artikel Berkaitan:

Berhubung pembukaan semula pusat peranginan Phuket mulai Khamis ini, wakil jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata, sehingga jam 9 pagi pada Rabu hampir 5,000 orang telah memohon Sijil Masuk (CoE) iaitu surat dikeluarkan Kedutaan Thailand atau konsulat bagi membenarkan warga asing pemegang visa untuk memasuki negara itu.

"Sehingga kini 500 CoE telah diluluskan," katanya.

'Phuket Sandbox' adalah projek perintis untuk menghidupkan kembali industri pelancongan pulau itu yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

Phuket bersedia menyambut pelancong yang sudah lengkap divaksin tanpa perlu melalui proses kuarantin 14 hari di kemudahan kuarantin alternatif negara (ASQ).

Namun, mereka harus tinggal di pulau itu selama 14 hari sebelum melancong ke tempat lain.

Thailand membuka pintunya untuk pengunjung dari 63 negara dan tiga wilayah yang dianggap berisiko rendah atau sederhana termasuk Australia, Brunei, China, Israel, Qatar, Singapura, Taiwan, dan Vietnam. - Bernama