X

Kindly register in order to view this article
!

Pasaran kewangan tempatan terkesan faktor luaran, domestik: BNM

Bank Negara Malaysia. - Foto 123RF
A
A

FAKTOR-faktor domestik dan luaran pada Mei telah memberi kesan ke atas pasaran kewangan tempatan, manakala sentimen pelabur terjejas akibat ketidaktentuan sekitar perkembangan pandemik di rantau ini, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM berkata, pengenaan langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19 di dalam negara dikhuatiri memberi kesan yang lebih mendalam terhadap prospek ekonomi dan peningkatan penukaran risiko ke atas aset kewangan domestik.

"Akibatnya, FBM KLCI merosot 1.1 peratus dan ringgit turun 0.8 peratus berbanding dolar US," kata BNM dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun menokok sebanyak sembilan mata asas, didorong oleh jangkaan pertambahan rangsangan fiskal domestik bagi menyokong aktiviti ekonomi, katanya.

Di samping itu, "tanda-tanda inflasi yang lebih tinggi dan perbincangan akan datang oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan pembelian aset membawa kepada peningkatan dalam hasil Perbendaharaan AS pada jangka panjang, yang pastinya akan memberi kesan terhadap ekonomi pasaran baru muncul seperti Malaysia".

Bank-bank terus dimodalkan bagi menangani potensi tekanan termasuk mengekalkan pengantaraan kredit dalam ekonomi.

"Walaupun terdapat sedikit penurunan dalam nisbah modal, penampan modal bank terus mengukuh pada RM119.9 bilion setakat Mei 2021.

"Kualiti aset dalam sistem perbankan kekal mantap dan bank terus memudahkan bantuan pembayaran balik kepada peminjam yang berdaya maju bagi menghadapi masalah kewangan sementara.

"Secara keseluruhan, nisbah pinjaman terjejas kasar serta bersih kekal stabil masing-masing pada 1.6 peratus dan 1.0 peratus.

"Jumlah peruntukan yang diketepikan terhadap potensi kerugian kredit berada pada 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan," kata BNM.

BNM ketika menyentuh mengenai kemajuan pembiayaan berkata pertumbuhan pembiayaan bersih Mei dikekalkan pada 4.8 peratus berbanding 4.9 peratus yang dicatatkan semasa April, mencerminkan pengembangan pinjaman tertunggak yang stabil di tengah-tengah kesederhanaan dalam pertumbuhan bon korporat yang belum dijelaskan sebanyak 7.2 peratus pada Mei, berbanding 7.7 peratus menjelang April.

"Pertumbuhan pinjaman isi rumah yang tertunggak adalah 6.1 peratus berbanding 6.2 peratus pada April, bagaimanapun, kedua-dua pembayaran pinjaman dan pembayaran balik merosot merentasi kebanyakan tujuan, sebahagiannya kesan akibat pelaksanaan Fasa Ketiga Kawalan Pergerakan.

“Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman tertunggak dikekalkan pada 0.4 peratus sejak April di tengah-tengah pertumbuhan pinjaman modal kerja yang agak lemah," tambahnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!