PKPD: Lapan laluan ke Kubang Jela, Manir ditutup

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak lapan laluan yang menghubungkan Kampung Kubang Jela, Mukim Manir, di sini akan ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung itu bermula Khamis.

Jalan itu adalah lorong satu dan dua ke Kampung Banggol Donas, lampu isyarat Kubang Jela ke Batu Enam, lampu isyarat Batu Enam ke Kubang Jela, jalan sekolah ke Teluk Pasu, lorong tali air ke Teluk Pasu, sempadan jalan ke Taman Teluk Pasu dan Lorong Sentosa (bengkel kenderaan Mazlin).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, selain penutupan jalan pihaknya mengadakan satu sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kelantan iaitu hadapan Klinik Kesihatan Manir.

Menurutnya, langkah itu dilakukan bagi mengelak berlakunya pergerakan keluar masuk kenderaan dan orang ramai ke kawasan PKPD.

“Kita juga akan tempatkan pusat kawalan PDRM di depan Klinik Kesihatan lama Manir bagi memudahkan penduduk Kampung Kubang Jela mendapatkan kebenaran keluar kawasan PKPD atas urusan kecemasan dan sebab dibenarkan.

“Penduduk Kampung Kubang Jela dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPD dan mengurangkan pergerakan kecuali atas sebab dan urusan yang dibenarkan mengikut SOP,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Abdul Rahim berkata, Polis akan membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengenalpasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk ke kawasan PKPD.

Katanya, sebarang cubaan atau tindakan mengalih, mengubah, melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) yang telah ditempatkan di kawasan PKPD boleh didakwa mengikut peruntukkan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Bagi penduduk kawasan Kampung Kubang Jambu, Manir, mereka boleh gunakan jalan alternatif lain iaitu Jalan Baloh dan jalan belakang Klinik Kesihatan Baru Manir kerana jalan keluar ke Jalan Kelantan ditutup,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPD di Kampung Kubang Jela, Mukim Manir selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Julai bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti itu.

Sehingga kini, KKM telah melakukan 111 ujian saringan dan 18 penduduk di lokaliti tersebut disahkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti sebanyak 54.3 peratus.

Pada masa sama, KKM mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.