X

Kindly register in order to view this article
!

Pelbagai pihak kolaboratif tangani isu bunuh diri: Zulkifli

Dr Zulkifli (kanan) melihat 'food bank' di Pusat Khidmat Adun Tepoh untuk mereka yang memerlukan selepas penyerahan pek makanan program Yadim Peduli Musaadah Covid-19 hari ini. -
 Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi akan berkolaboratif untuk menangani masalah kemurungan yang semakin membimbangkan sehingga ada yang mengambil tindakan membunuh diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, isu berkaitan kemurungan sehingga menyebabkan bunuh diri telah dibincangkan sejak beberapa bulan lalu oleh pelbagai pihak termasuk kementeriannya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kita akan juga berkolaboratif dan cuba sebaik mungkin. Sebab di sana ramai agamawan berkata cara merekalah yang terbaik, pihak kaunselor pula kata cara merekalah yang terbaik. Jadi bagi saya baik kita gabung semua,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di sini pada Rabu.

Zulkifli berkata, beliau juga bercadang untuk bertemu sendiri dengan individu yang mengalami kemurungan atau stres melampau untuk menyelami dan menyelesaikan masalah mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Selasa, meminta masyarakat untuk lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku membunuh diri.

Katanya, pandemik Covid-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Malah, Dr Noor Hisham berkata, sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada 2020 iaitu 631 kes berbanding 609 kes pada 2019 dan sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM.

Dalam pada itu Zulkifli berkata, pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi memastikan golongan sasaran segera dibantu dan masalah kemurungan akibat tekanan hidup dapat diatasi termasuk memacakkan atau mengibarkan bendera putih di hadapan rumah.

“Kita buat semua. Doa kita buat, ikhtiar kita buat, turun padang kita buat dan yang paling penting kita hendak selamatkan seramai mungkin daripada terjebak dengan isu seperti tekanan melampau.

"Setakat ini saya tak kata salah, saya tak kata tak salah (kibar bendera putih). Apa yang baiknya bagaimana bantuan kita boleh sampaikan kepada sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kempen mengibarkan bendera putih di hadapan rumah sekiranya tiada makanan atau perlukan bantuan, yang tersebar luas di pelbagai platform media sosial.

Sebelum itu, Zulkifli menyampaikan 200 pek bantuan makanan dan barang keperluan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim untuk diedarkan kepada penduduk yang memerlukan. - Bernama


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)



Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!